Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM lancar semula portal pengisytiharan harta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Orang awam kini boleh mengakses maklumat isytihar harta anggota pentadbiran kerajaan melalui portal mydeclaration.sprm.gov.my bermula hari ini.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehingga kini agensi itu telah menerima maklumat melibatkan 57 daripada 70 anggota pentadbiran kerajaan terkini.

Kenyataan itu menyebut maklumat tersebut yang terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri telah pun dipaparkan di portal terbabit.

“SPRM tidak akan bertanggungjawab terhadap maklumat perisytiharan harta yang diperoleh atau diambil dari mana-mana sumber selain portal berkenaan,” katanya.

Dalam portal itu, paparan menunjukkan pendapatan bulanan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan yang tertinggi iaitu sebanyak RM93,841.65 dengan jumlah aset melebihi RM10 juta.

Ini diikuti Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dengan pendapatan bulanan sebanyak RM87,877.20 bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dr Jeffrey G. Kitingan iaitu sebanyak RM85,450 yang masing-masing asetnya berjumlah melebihi RM10 juta.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, dalam menyambut baik langkah itu menyatakan bahawa ia merupakan kesinambungan dari janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk pentadbiran bersih dan telus.

Sim bagaimanapun menyorot perbezaan dalam pendekatan yang diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional(PN).

"Pertama sekali, semua menteri dan ahli parlimen PH membuat deklarasi. Tapi ahli parlimen PN tidak. Hanya menteri PN buat pengisytiharan.

"Kedua, asset menteri PH diisytiharkan secara telus, tapi menteri PN masuk kategori sahaja.

"Maka pengisytiharan ini tidak lain tidak bukan, hanya memaparkan gaji yang sudah menjadi pengetahuan umum.

"Apa-apa perbezaan ini, kita biarkan rakyat yang bijak menilai dalam soal good governance (pentadbiran cekap) dan transparency (ketelusan)," katanya.

Versi portal sebelumnya, yang pertama kali dilancarkan semasa tempoh pentadbiran PH, memasukkan jumlah mutlak untuk jumlah pendapatan bulanan dan jumlah aset setiap individu yang diisytiharkan.

Sementara versi yang dilancarkan semula mengekalkan jumlah pendapatan bulanan individu, tetapi jumlah aset mereka dinyatakan dalam jumlah julat.