Selamatkah anak-anak menaiki bas sekolah?
Semalam, anak-anak tahun satu hingga empat memulakan sesi persekolahan dan bagi ibu bapa yang berdepan dengan kekangan untuk menghantar atau mengambil anak mereka dari sekolah, pastinya bas atau van sekolah adalah satu-satunya pilihan yang ada.
Namun, isu kesesakan dan ketiadaan pejarakan sosial dalam bas sekolah menjadi kebimbangan ibu bapa yang khuatir dengan risiko jangkitan Covid-19 kepada anak-anak yang masih kecil itu, apatah lagi dengan peningkatan semula kes tersebut dalam negara.
Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar menyemak kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi pengusaha bas untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak mereka terjaga secara optimum.
"Apabila melibatkan kanak-kanak, SOP tidak seharusnya dilonggarkan, tetapi diperketatkan termasuklah dalam soal kebersihan dan juga mengelakkan kesesakan... apabila keselamatan murid-murid terjamin, barulah ibu bapa berasa yakin untuk melepaskan anak mereka menaiki bas atau van sekolah," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata adalah penting untuk bilangan kapasiti murid dan penjarakan sosial di dalam bas sekolah difikirkan semula bagi memastikan tidak berlaku kesesakan termasuklah ketika naik dan turun dari kenderaan tersebut, sekali gus mengelakkan kemunculan kluster baru.
"Tentunya kita takut... kita tidak pasti sama ada bas atau van sekolah itu patuhi semua SOP... siapa yang akan pantau kesesakan dalam bas dan juga tahap sanitasi kenderaan... kapal terbang mungkin tidak perlukan jarakan sosial tetapi ini adalah bas sekolah yang tahap kebersihan pastinya tidak sama, malah ia melibatkan kanak-kanak.
"Kita sendiri dipesan agar jangan berada dalam kawasan yang sesak tetapi kanak-kanak pula bersesak di dalam kenderaan sekolah... konsep jarak sosial itu tidak dilaksanakan, malah tahap kebersihan pula tidak dapat dipastikan dan ini bagi saya punca yang akan merebakkan Covid-19 dan ini yang kita takuti," katanya.
Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya berasa risau untuk membiarkan anak mereka menaiki bas sekolah kerana setiap pengusaha maklum dan perlu mematuhi semua SOP yang telah digariskan oleh KKM.
"Pemandu bas akan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa bertugas, malah kenderaan akan disanitasi setiap hari iaitu sebelum dan selepas kanak-kanak menaikinya... malah sebagai langkah tambahan, pemandu juga akan pastikan ada cecair pembasmi kuman dalam kenderaan.
"Meskipun kita tidak periksa suhu pelajar, namun sejurus mereka tiba di depan pintu sekolah, guru yang akan melakukannya... bagaimanapun jika ada yang kami nampak tidak sihat, pasti kami tidak akan benarkan mereka naik bas sekolah pada hari itu," katanya.
Beliau menambah sambutan kepada penggunaan bas sekolah ketika ini amat kurang, sama ada disebabkan terdapat ibu bapa yang enggan membayar penuh yuran bas sekolah kerana hanya menggunakan perkhidmatan untuk beberapa hari sahaja pada bulan ini, atau mungkin anak tidak bersekolah, atau mungkin ibu bapa yang sendiri menghantar anak mereka.
Bagi Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat pula, ibu bapa sendiri bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka benar-benar sihat sebelum menaiki bas sekolah dan tidak bergejala seperti demam, selesema dan batuk.
"Tidak ada apa yang hendak dirisaukan oleh ibu bapa kerana pengusaha bas sekolah kena patuh dengan SOP yang digariskan, maka ibu bapa sendiri kena mainkan peranan dan peka dengan kesihatan anak-anak mereka sebelum naik bas... kalau tidak sihat jangan ke sekolah," katanya.
Beliau berkata pemandu juga akan sentiasa mengingatkan pelajar untuk tidak ada sentuhan antara satu sama lain atau bergurau senda dan sentiasa duduk, selain sentiasa memakai penutup mulut dan hidung semasa di dalam bas atau van.
"Hari ini baru hari kedua, pengalaman baru untuk pengusaha maka banyak yang boleh diperbaiki dan menyesuaikan diri... tetapi pastinya apabila tiba di sekolah, kami mesti memastikan mereka turun seorang demi seorang dari bas," katanya.
Sementara itu, dalam SOP yang dikeluarkan KKM, pemandu juga perlu menjalani saringan gejala sebelum memulakan tugas, selain memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa bertugas, memastikan dan mengarahkan murid sentiasa duduk dan memakai penutup mulut dan hidung semasa di dalam bas atau van, dan tidak diwajibkan untuk menyaring murid semasa naik atau turun kerana beberapa kekangan serta saringan telah dibuat oleh pihak sekolah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai