Skip to main
Logo Malaysiakini

Nik Nazmi: Usaha kerajaan PH atasi diskriminasi kaum tak memadai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) sepatutnya boleh bertindak dengan lebih berkesan untuk mengatasi masalah diskriminasi kaum dan agama di negara ini ketika berkuasa, kata anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bercakap dalam sebuah forum malam tadi, wakil PKR itu memberikan contoh bagaimana kerajaan PH pada 2018 gagal dalam usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

"Terus terang, kami tidak berbuat dengan secukupnya ketika kami berkuasa. Maksud saya, sekarang kami mendapat kesannya.

"Jika diimbau kembali, saya percaya - Icerd contohnya - ia ditangani dengan teruk dari segi komunikasi dan sebagainya," kata Nik Nazmi dalam forum anjuran Pusat Komas di Petaling Jaya, malam tadi.

Nik Nazmi adalah seorang daripada panelis forum yang diadakan untuk membincangkan laporan Pusat Komas mengenai diskriminasi kaum di Malaysia. Turut menjadi panel ialah dua orang Pesuruhjaya Suhakam, Dr Madeline Berma dan Jerald Joseph.

Menurut Nik Nazmi, pentadbiran PH gagal melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sebalikya hanya berpusat dalam lingkaran mereka sendiri sebelum membawa polisi berkaitan.

Nik Nazmi berkata, PH seharusnya mengambil contoh kumpulan antarabangsa yang memperjuangkan konvensyen menentang diskriminasi berkenaan.

Harus tangani dengan betul

Katanya, pihak berkaitan cuba untuk menjalin komunikasi dengan kumpulan-kumpulan kanan di Malaysia seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk menyampaikan mesej mereka.

"Apa yang luar biasa, mereka benar-benar bekerja sama dengan Isma, mereka datang untuk berbincang dengan Isma, dengan PAS, dan dengan persatuan ulama untuk berbincang mengenai konvensyen menentang diskriminasi dan memberitahu kumpulan terbabit bahawa tidak ada apa-apa dalam konvensyen yang dapat menghentikan undang-undang syariah dan semua undang-undang yang ada di Malaysia untuk diteruskan.

"Dan ini tidak berlaku ketika kami merancang untuk mengesahkan Icerd atau Statut Rom," katanya.

Nik Nazmi menambah jika PH mendapat peluang menjadi kerajaan sekali lagi, mereka harus menangani perkara itu dengan betul dan mengutamakannya.

Icerd adalah konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengikat anggotanya untuk menghapuskan diskriminasi kaum dan mempromosikan persefahaman antara kaum.

Ia dimulakan oleh PBB pada tahun 1965 untuk menangani intoleransi perkauman global. Namun, di Malaysia, ia dianggap sebagai ancaman terhadap hak istimewa bumiputera (Artikel 153) dan Islam.

Percubaan oleh kerajaan PH untuk membawa Malaysia menandatangani konvensyen itu menimbulkan kebimbangan terutama di kalangan kumpulan pro-Melayu. PH sejak itu menangguhkan rancangan berkenaan.

Penentangan serupa juga diterima oleh kerajaan PH tahun lalu ketika menandatangani Statut Rom dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang merupakan perjanjian yang membentuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Pengesahan Statut Rom juga mendapat nasib yang serupa dengan Icerd , dengan Putrajaya kemudian menarik balik tandatangannya dari undang-undang tersebut.