Skip to main
Logo Malaysiakini

Lesen Finas: Ketetapan menteri komunikasi membimbangkan, kata Fahmi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, menyuarakan rasa bimbangnya susulan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah bahawa semua penggambaran filem memerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Jelas Fahmi, ketetapan dibuat kerajaan itu bakal memberi kesan besar buat semua pengamal media sosial, dan memungkinkan timbul isu pendakwaan terpilih.

“Kesannya agak besar dan saya rasa ramai akan bertanya sama ada selepas ini, kalau terbitkan video dalam media sosial, adakah itu akan tertakluk atau tidak dengan ketetapan menteri bahawa semua penggambaran filem memerlukan lesen Finas.

“Lebih risau kalau takrifan tersebut adalah pendakwaan terpilih apabila sesetengah orang sahaja tertakluk dengan takrifan manakala yang lain (tidak) terkesan,” katanya menerusi sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Saifuddin menjelaskan saegala bentuk penggambaran memerlukan lesen Finas, termasuk rakaman media sosial peribadi.

Katanya keperluan lesen itu turut terpakai ke atas mereka yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mempersoalkan adakah lesen Finas diperlukan untuk media sosial atau tradisional.

Perlu jelas pada fakta

Mengemukakan soalan tambahan, Fahmi bertanya adakah personaliti YouTuber seperti Dustin Pfundheller - yang mengeluarkan video bagi membalas dokumentari kontroversi Al Jazeera - memiliki lesen Finas, Saifuddin berkata beliau akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Kata Saifuddin jika ada aduan, tindakan akan diambil.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata menteri itu seperti tidak menjawab soalannya dalam Dewan Rakyat dan tidak memahami keseluruhan fakta perkara tersebut.

“Menteri perlu lebih jelas dengan fakta kerana jawapannya bukan sahaja tidak memuaskan tetapi akan beri kesan lebih besar.

“Saya tak pasti menteri benar-benar fahami keseluruhan fakta dan penjelasan lanjut,” katanya lagi.

Akta Finas merujuk filem sebagai sebarang bahan yang dirakamkan termasuk filem pendek, dokumentari, trailer dan filem iklan.

Menurut laman sesawang Finas, untuk mendapatkan lesen bagi pembikinan filem dan penggambaran video, pemohon mesti berdaftar sebagai pemilik syarikat sendirian berhad dan mempunyai modal berbayar tidak kurang daripada RM50,000.

Sementara itu, Fahmi turut mempersoalkan adakah selepas ini semua menteri yang melakukan Facebook Live harus membayar sejumlah wang untuk memperoleh lesen berkenaan.

“Ahli Parlimen yang selalu buat Facebook Live, adakah kita perlukan lesen Finas?

“(YB) Noraini (Ahmad) (menteri pengajian tinggi) juga ajak mahasiswa main TikTok, perlu ada lesen tak?” soalnya lagi.

Isu lesen Finas mencuri tumpuan susulan keputusan kerajaan untuk menyiasat mengenai kebenaran yang ada pada Al Jazeera melakukan penggambaran di negara ini.

Stesen berita antarabangsa berpangkalan di Doha, Qatar itu menjadi sasaran kemarahan kerajaan ekoran dokumentarinya Locked Up in Malaysia's Lockdown yang mendedahkan layanan kerajaan terhadap warga asing tanpa dokumen ketika Malaysia berindak membasmi wabak Covid-19.

Ini mendatangkan kemarahan kepada Putrajaya yang mengecam dokumentari itu dan menyifatkannya sebagai berat sebelah.

Polis pula menyoal siasat pemberita yang terlibat dalam dokumentari tersebut sementara Jabatan Imigresen mula memburu warga asing yang ditemu bual dalam video tersebut.