Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan pertimbang tubuh pasukan petugas pantau penjualan arak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan pasukan petugas untuk memantau penjualan alkohol selepas kes kemalangan membawa kematian melibatkan pemandu mabuk terus meningkat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Muttalib memberitahu Dewan Rakyat hari ini, kes kemalangan jalan raya yang membawa kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk terus meningkat sejak 2015.

"Sebagai contoh, pada 2016 terdapat 161 kes, tetapi dari Januari hingga Jun tahun ini (telah pun) mencatatkan 150 kes.

"Dari 2016 hingga 2020, sebanyak 44 orang telah kehilangan nyawa kerana kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

"Kerajaan mengambil perkara ini dengan serius dan akan mempertimbangkan menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memantau penjualan alkohol," katanya.

Walaupun penjualan alkohol berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ismail berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berpendapat ada keperluan untuk meninjau kembali tata cara penjualan bahan itu di kedai runcit kerana ia memberi lebih banyak kesan negatif daripada positif kepada masyarakat.

"Demi menyokong niat kerajaan, KPKT mengeluarkan surat arahan pada 9 Jun, memberitahu semua kerajaan negeri untuk mengenal pasti premis-premis yang khususnya terlibat dalam penjualan minuman alkohol untuk meningkatkan keupayaan pihak penguatkuasaan agar mengekang kesan negatif dari penggunaan alkohol," tambah beliau.

Ahli Parlimen Maran itu menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman yang bertanya apakah kementerian akan mengkaji penjualan alkohol di kedai runcit kerana minuman keras mempunyai kesan negatif yang lebih banyak daripada kesan positif kepada masyarakat.

Ismail menjelaskan soalan mengenai penjualan alkohol tidak dilihat dari aspek agama tetapi semata-mata dari status undang-undang.

Namun, beliau menyatakan bahawa dari sudut pandang Islam, alkohol dianggap sebagai bahan terlarang, dan menyatakan kepercayaan bahawa agama lain juga tidak menyokong penggunaannya terutama ketika menyebabkan kejadian seperti kemalangan akibat mabuk.

Dalam soalan tambahan, Azis bertanya apakah kedai runcit sedang dipantau untuk memastikan mereka tidak menjual minuman beralkohol kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan kepada orang Islam.

Ismail menjawab beliau memang berasa bimbang kerana mendapati banyak kedai yang menjual alkohol tanpa memeriksa identiti pelanggan terlebih dulu.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Serai, Karuppaiya Muthusamy mengenai pemantauan penggunaan alkohol di tempat awam seperti taman, seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Ismail berkata bahawa lesen hanya untuk penjualan alkohol dan minum di tempat awam tidak dibenarkan.

Ismail mengingatkan bahawa penjualan minuman alkohol di negara ini tertakluk kepada Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Eksais 1976, Akta 176 yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Di bawah Seksyen 32, Akta 176, penjualan minuman keras yang memabukkan di kedai runcit memerlukan lesen.

Beliau menambah bahawa kementerian, melalui pihak berkuasa tempatan, hanya mengeluarkan lesen premis perniagaan di bawah undang-undang kecil perdagangan, perniagaan dan perindustrian setelah permohonan lesen penjualan minuman keras memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan pusat, pejabat daerah, polis dan kastam.

[Baca berita penuh]