PSM tuntut keadilan buat mangsa 'scam'
Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan menggesa pihak polis supaya tidak melayan mangsa penipuan seperti penjenayah.
Beliau meminta isu berkaitan mangsa penipuan perlu dilihat lebih serius supaya mangsa tidak dihukum, sedangkan penjenayah sebenar yang memanipulasi mereka terlepas.
"Mereka bukan penjenayah. Cuma mangsa scam ditipu oleh pihak ketiga.
“Satu-satunya kesalahan mereka ini adalah datang daripada golongan miskin dan mempercayai pihak ketiga yang berjanji mendapatkan pinjaman bank," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Beliau mengulas beberapa kes melibatkan penyalahgunaan kad ATM oleh pihak ketiga, termasuk melibatkan seorang pemandu lori dari Seremban yang mengadu kesnya kepada Malaysiakini semalam.
‘Tommy sapu semua, kami diheret ke mahkamah dan hampir bunuh diri’
M Arumugam, 42, semalam berkata dia, tunang dan dua anak perempuannya pernah membuat keputusan untuk membunuh diri selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dan berdepan tuduhan di mahkamah.
Sementara itu, Arutchelvan juga berkata PSM menerima aduan berkaitan seorang pembantu makmal daripada Dengkil dan satu kes melibatkan seorang wanita daripada Puchong, dalam kes yang hampir sama.
Arutchelvan berkata oleh kerana menjadi mangsa, mereka tidak patut dituduh di mahkamah.
Sementara itu, beliau berkata jumlah wang jaminan juga tidak harus lebih tinggi berbanding denda, jika didapati bersalah.
Beliau berkata, perkara itu boleh mendorong tertuduh untuk mengaku salah, bagi mengelakkan membuat bayaran lebih mahal.
Sementara itu, Arutchelvan meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Jabatan Peguam Negara supaya segera menggugurkan semua kes melibatkan mangsa penipuan seperti dibangkitkannya itu.
"Saya juga minta polis tidak lagi membuat tangkapan baru terhadap mangsa scam seperti ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai