Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penyedia kandungan, kelas dalam talian pun perlu lesen Finas?'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen pembangkang hari ini menyoal Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah sama ada penyedia kandungan dalam kalangan anak muda dan rumah ibadah perluk lesen penggambaran dari Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas).

Ketika berbahas di Dewan Rakyat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) menimbulkan kebimbangan bahawa syarat itu akan "membunuh" penyedia kandungan dalam talian, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.

"Saya mendesak merayu kepada menteri untuk menarik semula kenyataan beliau untuk memastikan ada konsistensi dan penjelasan ini tidak akan menjerat anak muda di seluruh Malaysia," katanya ketika berbahas.

Susulan itu, Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) pula mencelah mempersoalkan adakah guru sekolah juga memerlukan lesen Finas untuk melakukan pelajaran dalam talian.

"Sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) kita tahu bahawa para guru para pendidik terpaksa mengajar melalui wahana pembelajaran pengajaran dalam talian.

"Begitu juga para pensyarah sehingga kini oleh kerana ramai di antara murid-murid yang belum pulang ke kuilah, mereka terpaksa hasilkan kandungan-kandungan yang merupakan video yang mereka kongsikan di pelantar-pelantar umum 'Youtube' di antaranya, Instagram mereka.

"Ketika menyangkut soal permohonan lisen Finas, mereka (guru) mengatakan ini adalah tugas yang mustahil dan membebankan. Mereka perlu mengajar dan menyampaikan, berapa lama masa yang diperlukan untuk meluluskan permohonan lesen mereka?" soal Maszlee, yang merupakan bekas menteri pendidikan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menanda (tag) Saifuddin di Twitter dan bertanya sama ada tempat-tempat ibadat memerlukan lesen Finas untuk perkhidmatan dalam talian.

"Tidakkah anda tahu bahawa ancaman Covid-19 telah menyebabkan banyak rumah ibadat menggunakan perkhidmatan dalam talian bagi sembahyang dan 'khutbah' melalui video.

"Anda mengharapkan tempat-tempat ibadat untuk memohon izin dari Finas juga?" soalnya.

Terdahulu, Saifuddin menjelaskan segala bentuk penggambaran memerlukan lesen Finas, termasuk rakaman media sosial peribadi.

Katanya, keperluan lesen itu turut terpakai ke atas mereka yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mempersoalkan adakah lesen Finas diperlukan untuk media sosial atau tradisional.

Akta Finas 1981 mendefinisikan filem sebagai rakaman pada sebarang bahan, termasuk filem utama, filem pendek, filem subjek pendek, trailer, dokumentari dan filem iklan.

Kenyataan Saifuddin itu mendapat kritikan hebat daripada ahli parlimen dan juga warganet.

Dalam kenyataan berikutan penjelasan Saifuddin, Wong mendesak menteri berkenaan untuk meminda undang-undang yang "ketinggalan zaman".

"Ini berlaku selama tahun-tahun ketika kegiatan penggambaran hanya terbatas pada industri filem, agensi berita dan penggunaan komersial.

"Namun, kita sekarang berada di era di mana semua orang dapat membuat filem. Pengguna media sosial dengan telefon pintar memuat jutaan video ke Youtube, TikTok, Facebook, dan Instagram setiap hari,” katanya.

Bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak turut tidak setuju keputusan kerajaan memaksa semua pengguna media sosial untuk memohon lesen Finas.

Najib yang mempertahankan Saifuddin kerana menurutnya memberi penjelasan berdasarkan pada apa yang termaktub dalam Akta Finas, namun mengingatkan kerajaan agar tidak menyalahgunakan undang-undang terhadap warganet.

"Jawapan rasmi menteri di parlimen adalah apa yang ada dalam undang-undang ini. Ini tidak bermaksud akta tersebut boleh disalahgunakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengancam pengguna media sosial.

"PN tidak seperti pemerintah Pakatan Harapan (PH) yang menyalahgunakan undang-undang untuk menganiaya rakyat dan lawannya," katanya dalam catatan di Facebooknya.

Isu berhubung lesen Finas menjadi perhatian umum setelah kementerian Saifuddin memutuskan untuk menyiasat sama ada Al Jazeera dilesenkan untuk menghasilkan dokumentari.

Ini setelah tayangan "Locked Up in Malaysia's Lockdown" - sebuah dokumentari yang mengkritik kerajaan sebagai menindas warga asing semasa pandemik Covid-19.