Skip to main
Logo Malaysiakini

Bakar kucing: Ahli perniagaan tawar RM10,000 pada pemberi maklumat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berang dengan insiden kucing dibakar yang dipaparkan dalam sebuah klip video, seorang ahli perniagaan hari tampil menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Menurut AK Thevaraja Vel, yang berasal dari Klang, Selangor, tindakan zalim itu tidak boleh dimaafkan dan mesti dihukum sewajarnya.

"Kita masih tidak pasti lokasi tepat kejadian ini. Ada yang kata insiden tersebut berlaku di Pahang. Polis Pahang pun telah memberitahu bahawa sedang menyiasat kesahihan dakwaan insiden itu berlaku di Pahang.

"Jadi, saya ingin menawar ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden atau pelakunya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Klip video berdurasi 45 saat yang tular itu memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar dan perbuatan zalim itu dirakam sendiri oleh pelakunya.

"Saya rasa marah dan terkejut dengan video tersebut. Pelakunya mesti dihukum. Tiada kemaafan kepadanya.

"Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya melalui di akaun Facebook https://www.facebook.com/theva.rajavell, atau melaporkan terus kepada polis.

"Sekiranya maklumat yang diberi tepat, saya sedia bayar ganjaran RM10,000," tambahnya lagi.

Untuk rekod, sebelum ini Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu.

Persatuan itu turut merayu agar maklumat lengkap dengan laporan polis dapat diambil sehingga pelaku berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membakar anak kucing itu hidup-hidup sekiranya benar kejadian dan pelaku berada di Malaysia.

Orang ramai digesa untuk memberikan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-20901097.