Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 3 lelaki, rampas kenderaan curi bernilai RM300,000

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan tiga lelaki anggota sindiket mencuri kereta dan merampas lima kenderaan yang dianggarkan bernilai RM300,000 di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata ketiga-tiga suspek warga tempatan yang berusia 22 hingga 30 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta pada kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut, polis menemui beberapa dokumen dan beberapa kunci kereta.

“Hasil soal siasat yang dijalankan membawa kepada penemuan lima kenderaan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur sejak awal tahun ini iaitu Toyota Hilux, Honda CRV, Lexus, Audi dan sebuah Perodua Myvi yang dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mazlan berkata modus operandi sindiket terbabit ialah mencuri secara berkumpulan sebelum kereta berkenaan dijual kembali dengan nombor casis dan nombor enjin yang diubah suai.

"Pembeli kenderaan curi ini akan dibekalkan dengan geran kenderaan palsu,” katanya.

Mazlan berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah curi kenderaan sejak awal tahun ini.

Dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, kata Mazlan, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes curi kereta di sekitar Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek negatif ujian saringan air kencing manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah,” .

Menurut Mazlan kesemua suspek direman empat hari bermula Selasa untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderan.

- Bernama