Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Semak fungsi Finas, mansuh keperluan lesen filem’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin menggesa kerajaan supaya menyemak semula ruang lingkup kuasa dan fungsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya ia sesuai dengan tujuan penubuhan agensi itu pada tahun 1981.

Katanya, semakan terhadap Akta Finas 1981 yang mewajibkan supaya lesen dipohon sebelum sebarang penggambaran semakin terdesak dan perlu supaya undang-undang itu selaras dengan usaha membangunkan sektor multimedia dan komunikasi negara pada alaf baru.

“Syarat orang perseorangan untuk mendapatkan lesen Finas wajar dimansuhkan.

“Pada masa yang sama, bagi memberi kelonggaran kepada pengamal media dalam aspek memenuhi syarat peleseanan Finas.

“Mesyuarat kabinet hari ini perlu mengambil tindakan tegas dengan tidak mewajibkan pengamal-pengamal media terikat dengan peruntukan Seksyen 22(1) Akta Finas, dan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Al-Jazeera,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Shamsul turut berkata bahawa pihaknya tidak menafikan keperluan untuk mengawal media bagaimanapun kerajaan harus sedar kepentingan pembangunan kandungan kreatif.

“PKR tidak menafikan keperluan untuk mengawal bahan-bahan yang boleh memudaratkan keamanan dan kesejahteraan negara, tetapi kita perlu jelas kepentingan dan keperluan pembangunan kandungan kreatif.

“Persekitaran tahun 1980-an dan sekarang jauh berbeza,” kata Shamsul dengan menambah bahawa peruntukan tersebut tidak boleh digunakan bagi menangani cabaran penguatkuasaan dan pembangunan hari ini.

Sementara itu, beliau juga berpendapat keperluan lesen tersebut bertentangan dengan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

“Penerangan PKR berpandangan ia juga bertentangan dengan dasar tidak ada tapisan ke atas kandungan multimedia.

“Kewujudan peraturan yang dimaklumkan oleh menteri iomunikasi dan multimedia di bawah Akta Finas juga bertentangan atau bertindih dengan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, satu akta yang menggantikan Akta Penyiaran dua dekad lalu,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dikritik teruk selepas memaklumkan Dewan Rakyat bahawa segala bentuk penggambaran, termasuk rakaman media sosial peribadi memerlukan lesen Finas.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa pihak kerajaan tidak berniat untuk menggunakan Akta tersebut bagi mengekang kebebasan peribadi dan hanya mengatakan perkara demikian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang meminta penjelasan berkenaan kedudukan peruntukan terbabit.

Mengulas lanjut, Shamsul bagaimanapun berkata kenyataan Saifuddin hanya menunjukkan bahawa dasar kerajaan dalam soal penerbitan, pembangunan dan pengedaran filem masih tidak jelas.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menuntut peletakan jawatan Saifuddin yang menurutnya melakukan tiga episod 'salah langkah' termasuk berhubung ketetapan syarat pelesenan filem di bawah undang-undang.