Skip to main
Logo Malaysiakini

Mavcom fail saman untuk kuat kuasa denda RM2j pada AirAsia, AirAsia X

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini membawa ke mahkamah untuk menguatkuasakan denda RM2 juta yang dikenakan ke atas syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia dan syarikatya penerbangan tambang murah perjalanan jauh, AirAsia X Bhd.

Langkah itu susulan tindakan undang-undang oleh AirAsia dan AirAsia X terhadap denda RM2 juta yang dikenakan atas kesalahan melanggar Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Pada 20 Jan, dilaporkan bahawa Mavcom mengenakan denda RM2 juta ke atas AirAsia dan AirAsia X kerana kedua-dua syarikat penerbangan tersebut dituduh mengenakan caj ke atas kad kredit, kad debit dan yuran pemprosesan perbankan dalam talian sebagai tambahan daripada tambang asas mereka, yang bertentangan dengan MACPC.

Bertindak selaku peguamcara, firma Tetuan Azrul Afifi & Azuan mengemukakan writ saman itu terhadap AirAsia dan AirAsia X di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai.

"Saman itu adalah untuk menguatkuasakan denda RM2 juta," kata Afifi sambil mendakwa kedua-dua syarikat penerbangan itu masih tidak melunaskan penalti kewangan.

Salinan kertas kausa berkaitan saman Mavcom dilihat oleh Malaysiakini, mendapati bahawa suruhanjaya itu bukan hanya menuntut denda sebanyak RM2 juta, tetapi turut mengenakan penalti lewat bayar ke atas kedua-dua penerbangan tersebut.

Mavcom menuntut faedah pada kadar 5 peratus setahun ke atas kedua-dua penerbangan tersebut yang dikira dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.

Ia turut meminta kos peguamcara anak guam dan juga apa-apa relif lain ataupun lanjutan sepertimana dianggap sesuai manfaat oleh mahkamah.

Menurut Memorandum Of Apperance yang difailkan di Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 10 Julai, firma guaman Tetuan Zul Rafique mewakili AirAsia dan AirAsia X.

Senarai kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my menyenaraikan saman Mavcom terhadap AirAsia X bagi pengurusan kes e-review oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 27 Julai.

Kausa atas talian juga menyenaraikan pengurusan kes melalui e-review di mahkamah tinggi terhadap AirAsia pada 10 Ogos.

E-review adalah persidangan atas talian di mana pihak plaintif dan defendan akan membuat pengurusan kes tanpa perlu datang ke mahkamah.

Sebelum ini turut dilaporkan permohonan kedua-dua syarikat penerbangan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap denda RM2 juta itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai.