Skip to main
Logo Malaysiakini

Hormati dan gunakan bahasa Melayu di parlimen

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan wajib digunakan dalam mana-mana acara rasmi termasuk sidang parlimen.

Jika hendak berbahasa Inggeris, ahli parlimen hendaklah meminta izin daripada yang dipertua dewan terlebih dahulu.

YDP dewan pula boleh mempertimbangkan sama ada untuk memberikan keizinan berbahasa Inggeris atau pun tidak kepada ahli parlimen berkenaan.

Jika YDP Dewan memberikan keizinan, maka barulah ahli parlimen berkenaan meneruskan ucapan dalam bahasa Inggeris.

Jika tidak dibenarkan, maka ahli parlimen itu tidak boleh berucap walau sepatah pun dalam bahasa Inggeris.

Tetapi jika asyik sekejap-sekejap ahli dewan memohon izin untuk menggunakan bahasa Inggeris, apakah maknanya?

Boleh jadi ahli dewan tersebut tidak fasih berbahasa Melayu atau fikirannya berserabut kerana bercampur-baur antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau lebih gemar berbahasa Inggeris atau yang paling teruk tidak suka berbahasa Melayu walaupun itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

YDP dewan dan timbalannya sepatutnya mengingatkan semua ahli dewan agar menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan di samping berusaha menjadi contoh yang terbaik dalam kalangan ahli dewan.

Inilah peranan besar yang boleh dimainkan oleh yang dipertua dewan dan timbalannya untuk mempertahankan perlembagaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

Masalahnya dalam amalan sekarang ialah ahli parlimen hanya bercakap "dengan izin" dan tanpa YDP berkata "saya izinkan" terus berucap dalam bahasa Inggeris.

YDP Dewan sepatutnya menghentikan ucapan itu dengan bertanya "bila masa saya telah memberikan keizinan?"

Inilah yang seharusnya di amalkan dalam dewan yang mulia.

Jika ahli dewan yang mulia pun tidak mematuhi perlembagaan, tiadalah lagi kemuliaan dewan melainkan kehinaan belaka?

Apatah lagi semua yang berlaku di dalam dewan sekarang terus menjadi tontonan rakyat melalui siaran langsung.


KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI ialah timbalan presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.