Skip to main
Logo Malaysiakini

'Apec perlu tubuh badan penyelaras garis panduan pembukaan semula sempadan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) perlu mewujudkan sebuah badan penyelaras sementara pada kadar segera bagi menyediakan garis panduan khusus berhubung pembukaan semula sempadan serta penyediaan protokol kuarantin Covid-19.

Ketika membuat cadangan itu, Majlis Penasihat Perniagaan Apec (ABAC) berkata badan terbabit berperanan untuk menyelaras kerjasama, perkongsian maklumat serta menilai data sedia ada bagi kriteria yang dipersetujui untuk membolehkan ekonomi-ekonomi Apec menimbang masa serta kaedah pembukaan semula.

Dalam kenyataan hari ini, ABAC berkata ini sekali gus dapat membantu ekonomi-ekonomi terbabit untuk melakukan usaha berkenaan dengan mengamalkan langkah selamat secara optimum.

"Pandemik Covid-19 itu telah membangkitkan kepentingan aspek kesalinghubungan digital yang mantap bagi menggalakkan penyertaan ekonomi serta memacu pertumbuhan inklusif.

"Ekonomi-ekonomi Apec harus menerapkan pembangunan infrastruktur digital yang lebih selamat, mudah diakses serta mampu untuk semua serta memudahkan aliran data merentasi sempadan," katanya.

Menurut ABAC, perlu wujud komitmen perkongsian hasil penyelidikan dan penyelesaian vaksin secara percuma dan terbuka manakala perdagangan wajar terus memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi.

Selain itu, ABAC berkata, kalangan pemimpin Asia Pasifik dijangka membentangkan Laporan Covid-19 ABAC kepada Menteri-Menteri Bertanggungjawab Bagi Perdagangan (MRT).

Laporan itu antara lainnya menggariskan cadangan majlis itu sebagai maklum balas terhadap impak pandemik serta meletakkan asas bagi pemulihan ekonomi serta daya tahan rantau tersebut.

MRT Apec dijadual berlangsung esok bagi membincangkan cabaran akibat pandemik Covid-19 selain mengemudi rantau ini ke arah pemulihan dengan lebih pantas.

Mengulas impak segera akibat pandemik itu, Pengerusi ABAC Rohana Mahmood berkata apa yang perlu menjadi keutamaan adalah memastikan pasaran barangan, perkhidmatan dan pelaburan kekal terbuka.

“Pandemik global seperti ini memerlukan reaksi global yang selaras. Dalam dunia serba bersepadu dan saling berhubung, adalah tidak masuk akal bagi mana-mana ekonomi untuk bertindak sendirian menangani pandemik itu.

"Pasaran yang terbuka dan tiada diskriminasi akan memastikan produk dan perkhidmatan mampu menjangkau golongan yang amat memerlukan. Begitu juga keadaannya dari segi pelaburan yang penting untuk menampan impak ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu," katanya.

Sehubungan itu, Rohana berkata rantau terbabit perlu melipatgandakan usaha untuk mempertingkatkan penyertaan kewangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta di peringkat perdagangan antarabangsa menerusi persekitaran lebih memberangsangkan serta pembangunan kapasiti bagi transformasi digital.

“Lebih-lebih lagi sekarang yang memerlukan kita untuk kekal di landasan liberalisasi perdagangan dan pelaburan serta tidak mengetepikan perdagangan bebas.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa usaha mewujudkan pasaran terbuka di rantau ini telah berjaya mengeluarkan berjuta-juta orang daripada kemiskinan dan tidak berganjak daripada aspek globalisasi," katanya.

- Bernama