KPKT akur jika kerajaan tak luluskan pilihan raya k'jaan tempatan - Zuraida
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akur sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak meluluskan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata bagaimanapun KPKT berpandangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah penting bagi rakyat dan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak, khususnya ahli parlimen PN yang lantang mengkritik sebelum ini, amat dialu-alukan.
“Saya tidak boleh menyekat mereka daripada berkata apa-apa, bagaimanapun ada tanggungjawab untuk kita pastikan mereka (tahu) apa (yang ada) di sebalik harapan untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Program Jelajah Merdeka@Komuniti daerah Hulu Langat, hari ini.
Zuraida sebelum ini berkata kementeriannya menyasarkan untuk membentangkan usul pilihan raya PBT di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.
Menurutnya, kementerian masih dalam penyediaan kertas kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya yang dijangka menelan kos RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhan yang merangkumi 154 PBT.
Mengenai Program Jelajah Merdeka@Komuniti, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata selain Hulu Langat, tujuh lokasi lain dipilih untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat bersempena bulan Kemerdekaan, antaranya Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa, Kampung Melayu Ampang dan Taman Rasmi Jaya.
Program di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu juga merupakan program turun padang dan sesi libat urus JaPen bersama rakyat dalam memasarkan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai