Skip to main
Logo Malaysiakini

KPKT teliti laksana sanitasi semula bangunan awam - Zuraida

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti untuk melaksanakan operasi sanitasi di bangunan awam setiap enam bulan atau setahun sekali mengikut keperluan bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan wabak lain.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata untuk tujuan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah diarah melawat dan memeriksa kawasan yang perlu disanitasi semula sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) dalam kebiasaan normal baharu.

“Kita lihat trend peningkatan (COVID-19) yang tidaklah mendadak, jadi kita harus kawal (daripada bertambah buruk),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Pei You dan Program Kesedaran Cegah Kebakaran di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Salak Selatan di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Zuraida berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan memainkan peranan untuk memastikan pematuhan pemakaian pelitup separuh muka dalam kalangan orang awam berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemakaian pelitup separuh muka akan diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan di tempat-tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.

Ismail Sabri berkata orang ramai boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Sementara itu, Zuraida berkata pihaknya akan mengkaji semula pendekatan PBT dalam menangani kes demam denggi khususnya berhubung kerja pembersihan dan penghapusan nyamuk aedes.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPKT merancang untuk menaik taraf perpustakaan komuniti di kampung baru di bawah kementerian itu seperti pengubahsuaian Perpustakaan Pei You.

“Kita ada rancangan di seluruh Malaysia, kebetulan di Wilayah Persekutuan ada tiga kampung baru dan di seluruh Malaysia ada 613 kampung baru,” katanya.

- Bernama