Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 4 lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan empat lelaki yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dilancarkan sekitar Petaling Jaya pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata empat lelaki yang berumur antara 37 dan 59 tahun itu ditahan selepas polis memeriksa 641 kenderaan melibatkan 755 individu dalam Ops berkenaan.

Beliau berkata polis turut mengeluarkan saman terhadap 48 pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk 17 yang disaman kerana memandu tanpa lesen.

“Di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen yang sah, kesalahan itu mengkehendaki pesalah hadir di mahkamah untuk dibicarakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, orang yang kena saman boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

- Bernama