Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Lee: Beri dua pelitup muka boleh cuci kepada setiap murid

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye mencadangkan supaya kerajaan menyediakan dua unit pelitup muka boleh cuci kepada setiap murid sekolah bagi mengurangkan kos kepada ibu bapa.

Menurut Dr Lee, ini memandangkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka akan diwajibkan mulai 1 Ogos ini.

“Pemberian tersebut akan membantu penularan Covid-19 di kalangan murid sekolah di mana keberangkalian tanpa simptom jauh lebih tinggi berbanding orang dewasa.

“Institusi pendidikan juga merupakan bakal punca besar-besarkan sepertimana yang pernah berlaku di negara luar di Korea Selatan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Gambar fail - Dr Lee Boon Chye

Menurut Dr Lee, jumlah pemberian tersebut terdiri kepada 5.4 juta orang murid termasuk di pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah hanya memakan kos kurang daripada RM25 juta.

“Ini akan mengurangkan beban ibu bapa yang perlu sediakan topeng muka untuk anak-anak mereka menjelang pemakaian topeng muka secara mandatori pada 1 Ogos 2020,” katanya.

Ahli parlimen Johor Bahru Akmal Nasir yang turut bersama dalam sidang media tersebut pula membangkitkan aduan daripada sesetengah pihak yang tidak mendapat pelitup muka percuma bagi setiap isi rumah seperti yang dijanjikan oleh kerajaan, pada April lalu.

“Jadi persoalan yang saya nak bangkitkan sama ada pihak kerajaan meneliti, menilai atau membuat audit sama ada berapa banyak peratus sebenarnya topeng ini sampai ke seisi rumah.

“Dari segi aduan yang kita terima, kita tahu kaedah tersebut gagal. Jadi siapa yang patut bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut,” katanya yang turut bersetuju dengan cadangan Lee.

Gambar fail - Akmal Nasir

Akmal berkata, dengan pemberian pelitup muka boleh cuci secara percuma, dari segi kos ia bukan sahaja lebih murah tetapi lebih tahan berpanjangan berbanding pelitup muka pakai buang.

“Kerajaan mengumumkan pemakaian pelitup muka secara mandatori pada 1 Ogos, namun di antara kementerian yang bertanggungjawab mengawal harga siling telah memberitahu atau memaklumkan bahawa harga siling yang baru iaitu penurunan sebanyak 30sen daripada RM1.50 ke RM1.20 hanya berkuatkuasa 15 Ogos.

“Jadi perkara ini sepatutnya disekalikan iaitu apabila kerajaan menetapkan mandatori topeng muka tersebut secara common sense atau secara praktikal,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata harga siling pelitup separuh muka akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 bermula 15 Ogos.

Beliau berkata harga borong bahan itu yang ketika ini adalah RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.