Skip to main
Logo Malaysiakini

MP gesa menteri dedah terma penuh penyelesaian Goldman Sachs

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Subang Wong Chen menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Zainal Abidin untuk mendedahkan terma penuh perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.62 bilion) atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Bercakap dalam sidang media di Parlimen, Wong berkata dengan mengambil kira kerugian yang ditanggung akibat skandal 1MDB, apa yang dicapai dengan Goldman Sachs itu bukanlah penyelesaian terakhir.

Katanya lagi, apa yang lebih membimbangkan apabila terma jaminan bernilai AS$1.4 bilion adalah tidak jelas.

Beliau menyatakan empat perkara yang perlu dijelaskan berkenaan jamin tersebut, iaitu:

  • Apakah sebenarnya jaminan Goldman Sachs?
  • Apakah usaha yang dibuat Goldman Sachs untuk mendapatkan semula jumlah AS$1.4 bilion itu?
  • Adakah jumlah itu sebahagian daripada apa yang telah dan sedang didapatkan semula oleh kerajaan AS?
  • Apakah tempoh masa yang diberikan kepada Goldman Sachs untuk mendapatkan jumlah itu sebelum membuat bayaran kepada Malaysia?

“Tanpa memberi keterangan penuh mengenai soalan-soalan ini, rakyat Malaysia tidak akan dapat membuat penilaian yang betul berkenaan nilai sebenar pampasan," katanya.

Di bawah penyelesaian berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.62 bilion), Goldman Sachs akan membayar AS$2.5 bilion (RM10.66 bilion) secara tunai kepada kerajaan Malaysia manakala baki AS$1.4 bilion (RM5.97 bilion) sebagai "jaminan" untuk memastikan aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB akan dikembalikan ke Malaysia.

Menurut Tengku Zafrul, wang tunai AS$2.5 bilion akan diterima dalam masa dua bulan manakala AS$1.4 bilion akan dibayar selepas aset tersebut dipulangkan kepada kerajaan.

Proses merampas, mencairkan dan mengembalikan aset ini banyak dilakukan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Semalam, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoal sama ada rakyat Malaysia 'ditipu' berhubung perjanjian penyelesaian berjumlah AS$3.9 bilion itu, yang mana hanya AS$ 2.5 bilion (RM10.66 bilion) akan didapat dalam bentuk wang tunai daripada bank itu sebagai bayaran ganti rugi atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Lim berkata, kerajaan PH sebelum ini telah menuntut AS$ 7.5 bilion (RM31.97 bilion) yang merangkumi nilai tiga bon Goldman Sachs yang diatur untuk 1MDB bernilai AS$ 6.5 bilion (RM27.71 bilion) dan tambahan AS$ 1 bilion (RM4.26 bilion) bagi menampung kos faedah sehingga kini.

Wong berkata lagi, pendedahan itu penting kerana mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) suka membesar-besarkan butiran yang menurutnya dapat dilihat dalam pakej rangsangan ekonomi bagi berdepan Covid-19.

"Adakah mereka juga akan melambungkan jumlah penyelesalan dalam kes ini?

“Menteri kewangan juga harus mendedahkan sepenuhnya apa implikasi undang-undang kepada Goldman Sachs dari segi kes jenayah," katanya lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan menyatakan usaha dalam mendapatkan semula wang dari Low Taek Jho dan sekutunya - yang dikaitkan dengan skandal 1MDB - serta kemajuan yang telah dicapai.