Skip to main
Logo Malaysiakini

Ab Rashid gagal pertahan jawatan ketua bahagian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PEMILIHAN BERSATU | Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ab Rashid Ab Rahman, gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan Bersatu Bahagian Kota Bharu, yang berlangsung Sabtu lalu.

Beliau yang juga penyandang ketua bahagian itu tewas di tangan calon muka baru, Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Kelantan, Wan Rosli Wan Daud ketika dihubungi mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut dan sekadar memaklumkan bahawa keputusan terperinci pemilihan bahagian juga belum diperolehi pihaknya.

"Ya, ketua bahagian Kota Bharu dimenangi oleh Mohamed Farid. Setakat ini perincian keputusan belum sampai kepada jawatankuasa pemilihan negeri," katanya.

Sebagai rekod Ab Rashid merupakan penyandang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan salah seorang calon bagi jawatan naib presiden.

Sementara itu, jawatan timbalan ketua bahagian Kota Bharu dimenangi oleh Anuar Rajib dan naib ketua berpihak kepada Ryjhan Ab Rahman.

Jawatan ketua pemuda Bersatu Kota Bharu pula dimenangi oleh Mohd Ekhwan Mohd Hatta, manaka ketua srikandi disandang Rozainee Mohamed.

Dalam perkembangan sama Wan Rosli berkata, 12 daripada 14 bahagian Bersatu negeri Kelantan sudah selesai mengadakan pemilihan.

"Cuma pemilihan bahagian Rantau Panjang dan Tumpat yang masih tertangguh disebabkan sedikit masalah teknikal," katanya.