Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua warga Bangladesh ditahan kerana cuba sogok polis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan dua lelaki warga Bangladesh malam tadi selepas cuba menyogok Ketua Balai Polis Danga Bay wang tunai berjumlah RM10,000 supaya melepaskan sembilan pendatang tanpa izin yang ditangkap semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata kedua-dua lelaki berumur 35 dan 43 tahun itu ditahan pada 11 malam di Balai Polis Danga Bay.

“Terdahulu, sepasukan polis dari Balai Polis Sentral menahan lapan lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar yang didapati memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan menerusi serbuan Op Benteng, pada 6.30 petang di sebuah kondominium di pusat bandar.

“Semasa (proses) dokumentasi dibuat terhadap sembilan pendatang asing tersebut di Balai Polis Danga Bay, kedua-dua lelaki Bangladesh itu datang ke balai berkenaan dan menghulurkan wang RM10,000 sebagai imbuhan (untuk) melepaskan kesemua sembilan lelaki berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata mereka berdua ditahan serta merta kerana cuba memberi rasuah dan wang RM10,000 berkenaan dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bersama sembilan pendatang asing yang ditahan kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

-- Bernama