Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendapat Khairy pandangan peribadi, kata Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan kenyataan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin bahawa parti itu perlu bergerak ke hadapan susulan keputusan perbicaraan terhadapnya hari ini, sebagai pandangan peribadi.

Tambahnya, beliau tidak mempunyai masalah dengan kenyataan Khairy kerana semua orang berhak mengutarakan pandangan masing-masing.

“Tidak ada masalah, seorang orang boleh ada pandangan masing-masing.

“Ia (kenyataan Khairy) cuma pandangan peribadi,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan perbicaraan terhadapnya hari ini.

Terdahulu, bekas presiden Umno itu dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd - sebuah bekas anak syarikat 1MDB.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagit tuduhan salah guna kuasa.

'Harap Umno tak diheret dalam kes Najib'

Khairy yang merupakan Anggota Parlimen Rembau berpendapat, ini merupakan masa bagi Umno untuk bergerak ke hadapan dan melakukan proses perubahan parti.

“Saya berpendapat, walaupun beliau masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan, inilah masa bagi Umno sebagai sebuah parti politik untuk bergerak ke hadapan dan melakukan proses perubahan politik.

“Walaupun masing-masing berhak memberikan sokongan moral kepada Datuk Sri Najib, saya berharap parti Umno tidak diheret bersekali dalam kes tersebut.

“Saya yakin ahli-ahli Umno akan terus setia kepada parti melebihi kesetiaan kita kepada mana-mana individu di dalam parti,” katanya menerusi laman webnya.

Sementara itu, Najib yang merupakan anggota Parlimen Pekan meluahkan rasa kecewa setelah mendapat tahu keputusan membabitkan kesemua tujuh pertuduhan terhadapnya.

Jelasnya, pihak pembelaan tidak akan berhenti di sini dan akan terus mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Kata lagi, beliau akan tetap berusaha untuk membersihkan namanya.

“Saya amat kecewa dengan kehakiman dalam kes SRC kerana pihak kami yakni yang diketuai Muhammad Shafee dan peguam saya dah kemuka hujah-hujah yang boleh bawa kepada banyak keraguan dalam kes ini namun ia tidak diterima.

“Namun demikian rayuan ke mahkamah rayuan akan kita lakukan secepat mungkin dan saya berharap bahawa kes di mahkamah rayuan akan didengari dengan sesegera yang boleh.

"Saya ingin teruskan usaha untuk bersihkan nama saya dan perjuangan ini tetap saya teruskan,” katanya.