Skip to main
Logo Malaysiakini

PM gesa semua pihak terus percaya sistem kehakiman

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kesemua tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

"Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

"Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Muhyiddin juga menambah bahawa kerajaan menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

"Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang- undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Bagi kes salah guna kuasa, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagi kes pecah amanah, hakim mengenakan penjara 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan, dan pengubahan wang haram pula 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Semua hukuman penjara akan berjalan serentak, menjadikan tempoh hukuman penjara sebenar adalah 12 tahun.