Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: Shafie telah jumpa Anwar isu calon PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dilaporkan telah berjumpa dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan membincangkan isu calon perdana menteri bagi pihak pembangkang.

Menurut BH Online hari ini, Shafie berkata dalam pertemuan itu, beliau menyatakan pendirian mengenai cadangan Dr Mahathir Mohamad yang mencalonkannya sebagai calon perdana menteri pada perjumpaan tersebut.

"Memang beliau (Anwar) ada berkata sesuatu tetapi kita akan lihat bagaimana dengan perbincangan itu.

"Saya nyatakan mengenai pendirian berhubung perkara itu yang dicadangkan mereka.

"Saya rasa mesyuarat (PH) akan diadakan pada hari ini dan mereka akan membincangkannya dalam parti mereka," katanya seperti dipetik.

Nama Shafie timbul selepas kombinasi pertama, iaitu Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Anwar timbalannya, dan kombinasi kedua dengan Anwar sebagai calon perdana menteri dan Mukhriz Mahathir menjadi timbalan, tidak mendapat persetujuan semua pihak dalam PH Plus.

Ia sebagai usaha untuk merampas kembali kerajaan persekutuan selepas pentadbiran PH runtuh pada akhir Februari lalu.

Dalam perkembangan sama Shafei berkata, cadangan Mahathir mencalonkannya ke jawatan itu mampu menjadi jalan penyelesaian ke arah penyatuan antara pihak Anwar dan Mahathir.

"Ada perkara yang jauh lebih penting bagi kita untuk membolehkan Malaysia dan Sabah ditadbir dengan baik kerana rakyat perlukan bimbingan dan pimpinan.

"Kita tak seharusnya terlalu banyak berpolitik dan berdebat mengenai siapa yang menjadi Perdana Menteri," katanya dipetik sebagai berkata.