Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM siasat 1,296 ahli politik, pegawai k'jaan sejak 2018

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 1,296 kertas siasatan terhadap ahli politik dan pegawai kerajaan sejak 2018 hingga Jun tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 218 sabitan telah dibuat.

"Jumlah maklumat berkaitan rasuah yang diterima SPRM terhadap ahli politik dan pegawai kerajaan bagi 2018 hingga Jun 2020 adalah sebanyak 6,237. Sebanyak 1,296 kertas siasatan telah dibukat manakala jumlah sabitan sepanjang tempoh itu adalah 218.

"Tidak semua maklumat yang diterima SPRM berunsur rasuah dan memenuhi kriteria. Kertas siasatan dibuka berdasarkan kepada maklumat berkualiti yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan," katanya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kota Bharu menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew berkenaan perkara itu.

Antara siasatan terbesar SPRM adalah berkenaan dana SRC berjumlah RM42 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, di mana beliau didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram semalam.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi kesemua pertuduhan, bagaimanapun ia dijalankan serentak dan menjadikan tempoh sebenar kepada 12 tahun. Beliau juga didenda RM210 juta.

Bagaimanapun hakim membenarkan hukuman ditangguh sementara menunggu rayuan.

Dalam pada itu, Takiyuddin dalam satu lagi jawapan bertulis berkata kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan menggantikan sistem pilihan raya "first past the post" kepada perwakilan berkadar atau perwakilan bercampuran.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Malaysia (ERC), Jabatan Perdana Menteri sedang meneliti sistem

pilihan raya sedia ada dan mengkaji kesesuaian sistem-sistem pilihan raya yang lain termasuklah cadangan sistem Perwakilan Berkadar dan sistem Perwakilan Bercampuran," katanya menjawab soalan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Terdahulu, sistem pemilihan berdasarkan parti turut dibangkitkan bagi menangani masalah lompat parti.