Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya pilih Bersatu sebab kesungguhan Muhyiddin'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas keluar dari parti Amanah dan menjadi anggota dewan undangan negeri (Adun) Bebas, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memilih untuk meneruskan karier politiknya bersama Bersatu.

Keputusan itu katanya dibuat demi kepentingan kerjasama parti-parti Melayu-Islam dan kesungguhan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membawa budaya politik baru.

"Saya memilih untuk berada dalam Bersatu atas kepentingan gabungan kerjasama parti-parti Melayu-Islam dan melihat kesungguhan Tan Sri (Muhyiddin) membawa budaya politik baru yang menekan akauntibiliti dan khidmat terus kepada rakyat tanpa ada jurang pemisah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Adun Titi Serong, Perak itu menyerahkan nombor keahlian Bersatu kepada Muhyiddin yang juga presiden parti itu di pejabat perdana menteri di bangunan Parlimen, hari ini.

Sebagai rekod, pada 9 Mac lalu, Hasnul bersama dua lagi Adun Pakatan Harapan (PH) Perak mengisytiharkan mereka memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan negeri selepas PH Perak kehilangan majoriti dalam dewan undangan negeri.

Hasnul sebelum itu menyandang jawatan ketua pemuda Amanah sekali gus meninggalkan parti itu.

Sementara itu Hasnul berkata penyertaannya dalam Bersatu secara rasminya bermula 3 Jun lalu selepas kelulusan nombor keahlian.

Jelasnya lagi, keputusan itu juga diambil selepas mengambil kira kepentingan untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan Titi Serong yang sebelum ini agak ketinggalan dari aspek pembangunan.

"Ya, keperluan peruntukan pembangunan dan bantuan untum rakyat menjadi salah satu faktor kenapa saya bersama Bersama.

"Selama dua penggal iaitu 2008 hingga 2018, DUN Titi Serong berada di bawah wakil rakyat pembangkang, dan ketinggalan daripada arus pembangunan fizikal serta bantuan bagi orang-orang miskin," katanya.