MP gesa kerajaan runding untuk lesen wajib ubat generik Covid-19
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan untuk berunding bagi mendapat pelesenan wajib (compulsory licensing) untuk versi generik antivirus Remdesivir, yang digunakan untuk merawat wabak Covid-19.
Charles berkata, ia agar pesakit Covid-19 yang memerlukan ubat antivirus Remdesivir tidak perlu menanggung kos yang tinggi.
"Kos penghasilan Remdesivir, ubat yang terbukti berkesan melalui ujian klinikal dengan memendekkan tempoh pemulihan pesakit, dianggarkan kurang dari satu dolar sehari.
"Ini bermaksud kos sebenar untuk tempoh lima hari adalah maksimum AS$5 atau RM22," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, dia berkata Remdesivir yang dibangunkan oleh syarikat biofarmaseutikal Amerika Syarikat, Gilead Sciences dijual dengan harga AS$390 atau RM1,662 setiap botol kecil (per vial).
Pelesenan wajib adalah apabila kerajaan membenarkan penghasilan satu produk yang telah dipatenkan tanpa kebenaran pemegang paten atau perancangan untuk menggunakan ciptaan yang dipantenkan itu sendiri.
Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), ia salah satu keanjalan dalam perlindungan patent termasuk perjanjian WTO berkenaan harta intelek.
Pada 2 Mei lalu, Remdesivir dilaporkan telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) di bawah Kebenaran Kecemasan (EUA).
Bagaimanapun ubat itu belum diluluskan untuk penggunaan seluruh dunia dengan beberapa kajian tahap tiga masih dijalankan bagi menentukan keselamatan dan keberkesanannya untuk mengubati pesakit Covid-19.
Bagaimanapun beberapa negara, antaranya Singapura dan Kanada, membenarkan penggunaannya terhadap pesakit Covid-19 yang teruk.
Dalam pada itu, Charles membangkitkan kejayaan kerajaan pada 2017 apabila memperolehi ubat generik bagi penyakit Hepatitis C melalui pelesenan wajib yang akhirnya berjaya menurunkan kos ubat penyakit tersebut.
Bagaimanapun, katanya lagi, usaha itu perlu dilakukan bersama-sama negara membangun yang lain untuk berdepan dengan syarikat farmasi besar.
"Negara membangun dibenarkan untuk menggunakan peruntukan 'kegunaan kerajaan' di bawah perjanjian TRIPS (The Agreement on Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights yang ditandangani negara anggota WTO) untuk mengimport versi generik Remdesivir daripada negara pengeluar.
"Kerajaan harus terus mendesak Gilead Sciences untuk mengimport ubat generik Remdesivir dengan harga yang berpatutan untuk kepentingan rakyat Malaysia dalam memerangi Covid-19, terutama bagi golongan miskin.
"Kesihatan adalah hak asasi manusia sejagat dan kerajaan mesti mempertahankan hak rakyat untuk mengakses dengan harga yang berpatutan untuk penjagaan kesihatan. Tiada siapa yang patut mati hanya kerana mereka tidak dapat membayar kos rawatan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai