Skip to main
Logo Malaysiakini

Individu hilang kerja dapat lanjutan moratorium 3 bulan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020.

Katanya, syarat yang dikenakan adalah mereka masih belum mendapat pekerjaan baru dan lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.

"Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi masing-masing.

"Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas dan berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Lanjutan Moratorium Dan Bantuan Bank Bersasar di Putrajaya, hari ini.

“Keputusan ini dicapai selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Gabenor Bank Negara Malaysia,” katanya.

Pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen itu, Muhyiddin juga memberi jaminan bahawa sekiranya lebih ramai yang memerlukan bantuan, institusi perbankan juga sudah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan sewajarnya.

"Justeru, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos ini," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Contohnya katanya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

"Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan," katanya.