Moratorium tamat: Apa boleh dilakukan lepas 30 Sept
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penangguhan hutang secara bersasar selepas tamatnya moratorium pinjaman enam bulan, yang bermula April lalu, pada 30 September ini.
Muhyiddin berkata kerajaan mengambil kira maklum balas orang ramai, yang sebahagiannya belum bersedia secara kewangan bagi menyambung pembayaran hutang mereka.
"Saya mendengar rintihan saudara dan saudari berkenaan moratorium bayaran pinjaman yang bakal berakhir pada 30 September ini. Saya juga tahu ramai yang berharap agar moratorium ini dilanjutkan.
"Oleh itu, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh sebahagian daripada saudara-saudari yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium berakhir
"Jadi, pada hari ini saya dengan suka cita ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.
"Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara kita," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.
Bermula Oktober, para peminjam perlu menyambung pembayaran hutang bank namun sejumlah kategori mendapat beberapa kemudahan;
1. Penangguhan tiga bulan untuk mereka yang hilang kerja tahun ini
Mereka yang hilang kerja pada tahun ini dan belum mendapat kerja baru layak mendapat penangguhan ini.
Jika mereka masih berdepan masalah sama selepas tempoh itu, moratorium boleh dilanjutkan oleh bank tetapi bergantung kepada situasi individu peminjam.
2. Pengurangan bayaran bulanan untuk mereka yang dipotong gaji
Peminjam yang berdepan pemotongan gaji susulan kesan ekonomi daripada Covid-19 boleh mendapatkan pengurangan bayaran bulanan.
Kadar pengurangan bergantung kepada kadar pemotongan gaji mereka dan juga jenis pinjaman.
Bagi pinjaman perumahan dan peribadi, bayaran ansuran akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. Kadar bagi bentuk pinjaman lain tidak dinyatakan.
Pengurangan ini bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan, tertakluk kepada keadaan gaji pada masa itu.
3. Peminjam lain boleh berunding dengan bank untuk mendapat bentuk bantuan tertentu
Muhyiddin berkata, pihak bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.
Berikut adalah bentuk bantuan yang ditawarkan:
- Membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan.
- Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan.
- Pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.
Peminjam yang berdepan masalah kewangan dan layak untuk mendapat bantuan di atas boleh membuat permohonan dengan bank masing-masing bermula 7 Ogos ini.
Sudah ada sambung bayar
Muhyiddin berkata langkah-langkah tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada tiga juga individu dan PKS.
"Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya," katanya lagi.
Katanya, setakat 20 Julai, moratorium enam bulan telah memberi manfaat kepada 7.7 juta peminjam (93 peratus) dengan jumlah RM38.3 bilion.
Katanya lagi, data Bank Negara Malaysia juga menunjukkan 243,000 PKS (95 peratus) juga mendapat manfaat, dengan jumlah RM20.7 bilion.
Menurut Muhyiddin, moratorium itu bertujuan membantu rakyat di saat sebahagian besar ekonomi ditutup di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), bagaimanapun ekonomi kini sudah kembali rancak.
" Kini, ada individu dan perniagaan yang mampu membayar semula pinjaman mereka. Jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat daripada 331,000 peminjam pada April, kepada 601,000 peminjam pada Julai 2020.
"Manakala, untuk tempoh yang sama, jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam."
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia mengakui masih ada sektor ekonomi yang berdepan keadaan sukar dan tidak menentu.
"Saya faham, ada perniagaan yang belum dapat beroperasi sepenuhnya dan ada dalam kalangan saudara dan saudari yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan.
"Saya berharap lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.
"Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai