Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Tindakan akan diambil terhadap cubaan paling tadah di Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana pimpinan dari partinya di Sabah yang cuba berpaing tadah selepas perkara itu disahkan.

Anwar berkata beliau mengikuti perkembangan terbaru politik di Sabah dan menegaskan sokongan PKR dan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan pimpinan Warisan dan Ketua Menterinya, Mohd Shafie Apdal.

"Kita prihatin dan pendirian Keadilan dan Pakatan Harapan masih menyokong kerajaan Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie. Kita sedang ikuti perkembangan.."

"Kalau sah esok, kita akan mengambil tindakan. Kita tidak izinkan,” katanya kepada wartawan di Melaka hari ini, berdasarkan rakaman audio.

Awal hari ini, Adun Sungai Sibuga, Musa Aman mendakwa memperolehi sokongan yang mencukupi daripada Adun Sabah untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Beliau engggan menyatakan jumlah sokongan diperolehinya, namun Sinchew Daily melaporkan seramai 32 orang Adun termasuk Musa hadir ketika pengumuman itu.

Untuk memperoleh majoriti mudah, Musa memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 33 daripada 65 Adun di negeri ini, termasuk mereka yang dari parti kerajaan.

Di antara yang dilihat dalam sidang media Musa itu adalah Adun Inanam dari PKR, Kenny Chua.

Sementara itu, ditanya apakah pilihan raya mengejut perlu diadakan, Anwar berkata wabak Covid-19 dan sekatan yang dikenakan untuk mengekang penyebarannya akan menimbulkan masalah.

Ditanya adakah perkembangan di Sabah akan mempengaruhi PH, Anwar menafikannya.

"Kadang-kadang orang salah telahan bahawa percaturan politik kelompok atasan itu mewakili aspirasi rakyat. Tidak semestinya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, The Star melaporkan bahawa timbalan presiden Warisan, Darell Leiking mendesak pilihan raya negeri segera diadakan.

“Kami terkejut dengan apa yang telah terjadi. Kami berpendapat pilihan raya negeri harus diadakan dan kita harus mengembalikannya kepada rakyat untuk membuat keputusan," katanya.