Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebakaran asrama lama tahfiz, tiada kemalangan jiwa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 115 pelajar lelaki terselamat dalam kebakaran bangunan asrama lama di sebuah Maahad Tahfiz di Kampung Lambor Kanan, Seri Iskandar dekat Ipoh tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, BBP Parit, Teluk Intan dan pasukan bomba sukarela dikerah bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira pukul 12.52 tengah malam.

Beliau berkata 80 peratus daripada asrama lama serta stor berkeluasan 35x40 persegi musnah dalam kebakaran itu, manakala dewan berkeluasan 35x45 kaki persegi terbakar 10 peratus, dan bilik kuliah tiga tingkat terbakar lima peratus.

Menurutnya semua pelajar bersama lima orang guru yang berada di maahad tahfiz itu sempat lari menyelamatkan diri masing-masing sebelum api merebak, dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 3.25 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso ketika dihubungi berkata setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.

-Bernama