Skip to main
Logo Malaysiakini

Bung Moktar nafi Umno Sabah terlibat cubaan rampasan kuasa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Sabah menafikan terlibat dalam cubaan rampasan kuasa politik baru-baru ini yang seterusnya membawa kepada pembubaran dewan undangan negeri Sabah.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengatakan parti itu tidak terlibat dalam sebarang tindakan untuk merampas kerajaan negeri itu dari Warisan.

“Seperti kita sedia maklum, ura-ura mempunyai cukup majoriti bagi mengambil alih kerajaan negeri adalah pakatan di kalangan pelbagai parti di Sabah.

“Umno Sabah secara jelas tidak terlibat dalam sebarang perkara yang berlaku seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT).

Bung Moktar berkata demikian meskipun bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang merancang rampasan kuasa politik dengan mendapatkan sokongan 33 anggota dewan undangan negeri, bersama Umno.

Ini mengakibatkan Ketua Menteri Shafie Apdal memohon DUN dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya mengejut.

Dalam perkembangan sama, SPRM Sabah dilaporkan sedang menyiasat tuduhan bahawa beberapa anggota parlimen negeri ditawarkan wang untuk menukar sokongan.

Pada 23 Jun, Bung Moktar mengaku telah menghubungi ahli parlimen dari parti kerajaan negeri untuk menukar kem.

Mengulas lanjut dalam kenyataan sama semalam, Bung Moktar percaya bahawa pilihan raya negeri adalah jawapan terbaik untuk krisis politik di negeri itu.

Ahli parlimen Kinabatangan itu juga berkata Umno akan memberi tawaran baru kepada pengundi dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Kini kita serahkan pula kepada rakyat negeri ini untuk memilih kerajaan yang mereka benar-benar yakin untuk mentadbir Sabah," katanya.

Sementara itu, China Press memetik Bung Moktar sebagai berkata bahawa Umno bersedia untuk bertanding di semua kerusi tradisi yang pernah dimenanginya namun hilang selepas wakil rakyat beralih sokongan.

"Kerusi milik Umno harus dipulangkan kepada kami," katanya.

Umno akan bermesyuarat esok untuk membincangkan persiapan pilihan raa negeri sebelum bertemu dengan sekutu mereka dalam BN.

"Selepas BN Sabah mencapai kata sepakat, maka kita akan berbincang dengan pihak lain. Umno Sabah menegaskan bahawa kerusi tersebut awalnya milik Umno, harus diserahkan kepada kami," katanya.

"Kami akan bertanding atas tiket BN dan kami ingin merebut kembali semua kerusi tradisional kami," katanya.

Umno Sabah memenangi 17 kerusi DUN semasa pilihan raya umum 2018. Sementara Warisan dan sekutunya memenangi 29 daripada 60 kerusi - kurang dua kerusi untuk mendapat majoriti.

Musa ketika itu mendakwa dia mempunyai majoriti setelah mendapat sokongan dua anggota parlimen dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Musa selepas itu mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, Warisan mengumumkan mempunyai sokongan 35 Adun, setelah enam wakil BN berpaling tadah.