Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno dan Bersatu bertembung di Sabah?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Sabah dan Bersatu Sabah hari ini menuntut hak untuk meletakkan calon dalam pilihan raya negeri yang akan datang, yang kemungkinan menyebabkan pertindihan calon.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Bersatu Sabah Hajiji Noor mengatakan bahawa parti itu telah mengenal pasti 45 daripada 73 kerusi yang ada.

Sementara China Press yang memetik ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang menyatakan bahawa partinya akan meletakkan calon untuk 32 kerusi tradisi mereka termasuk di kerusi yang diwakili oleh wakil rakyat yang telah berpaling tadah.

Lapan kerusi yang dimenangi atas tiket Umno pada pilihan raya umum 2018, tetapi lapan Adun itu telah berpaling tadah dan menyertai Bersatu.

Bersatu dan Umno merupakan sekutu di peringkat nasional. Bagaimanapun, hubungan mereka di Sabah ketika ini dilihat tidak jelas.

Bung Moktar berkata Umno Sabah akan membincangkan pembahagian kerusi dengan sekutunya dalam BN iaitu PRBS dan MCA esok.

Bersatu Sabah pula dijadualkan akan membincangkan persiapan pilihan raya pada minggu depan, menurut Hajiji.

Hajiji, Adun Sulaman yang berpaling tadah dari Umno pada 2019, berkata bahawa Bersatu Sabah akan mengadakan perbincangan dengan Umno dan BN untuk memastikan kemenangan bersama di negeri itu.

Mengenai manifesto Bersatu Sabah, Hajiji mengatakan akan menumpukan perhatian untuk memulihkan ekonomi negeri itu berikutan wabak Covid-19 dan memastikan hak-hak rakyat Sabah dilindungi.

"Kami akan memastikan bahawa rakyat Sabah merasa selamat, aman, selesa dan hidup secara harmoni.

"Kami yakin bahawa Bersatu akan menjadi alternatif terbaik yang akan diterima oleh majoriti untuk memimpin Sabah," katanya.

Pada pilihan raya negeri akan datang, 73 kerusi akan dipertandingkan, termasuk 13 kerusi baru.