Tuntutan RM10 juta: Haniza bersedia dengan peguam
Bekas Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha yakin tidak ada tindakan boleh diambil terhadap beliau dan 18 lagi wakil rakyat PKR yang dikatakan berdepan surat tuntutan RM10 juta daripada parti itu kerana didakwa berpaling tadah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya itu, tuntutan terbabit juga bersifat ultra vires iaitu melangkaui bidang kuasa.
"Saya nampak tindakan tersebut seperti ultra vires yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan kepada mana-mana warganegara untuk menganggotai mana-mana pertubuhan yang berdaftar.
"Kita akan meneliti apakah saman yang dikenakan dan kita sudah bersedia dengan peguam untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Persatuan Suri dan Anggota Bomba Wanita Perak Bersama Nation Of Woman (NOW) Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba Meru Raya, hari ini.
Haniza yang merupakan Presiden NOW diminta mengulas laporan media Rabu lalu yang memetik kenyataan Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung bahawa parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan Adun PKR yang keluar parti agar membayar pampasan RM10 juta masing-masing kepada parti.
Haniza juga berkata beliau tidak keluar parti tetapi dipecat, selain dakwaan lompat parti adalah tidak benar kerana beliau merupakan Adun Bebas.
"Sekiranya saya menganggotai pertubuhan selain Keadilan (PKR), itu (juga) tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai