Sidang media MP Batu di CIQ kecoh sebab tiada permit KDN
Sidang media Ahli Parlimen Batu P Prabakaran di JB Sentral di Johor Bahru hari ini bertukar kecoh apabila pihak berkuasa menegurnya kerana mengadakan sesi tersebut tanpa izin.
Ia berlaku kira-kira 10 minit dalam sidang media itu ketika seorang anggota polis bantuan memerintahkan Prabakaran untuk mengakhiri sesi tersebut setelah didapati beliau tiada permit dari Kementerian Dalam Negeri.
Bangunan JB Sentral, yang juga menempatkan Kompleks Kastam, Imigrasi dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, berada di bawah pengawasan Kementerian Dalam Negeri dan setiap program yang diadakan di sana mesti mendapat izin KDN terlebih dahulu.
Walaupun ditegur, Prabakaran memilih untuk meneruskan sidang akhbarnya dan memberitahu media peguamnya akan berurusan dengan pihak polis bantuan tersebut mengenai perkara itu.
Kekecohan reda tidak lama setelah polis akhirnya membenarkan sidang media itu berlangsung, dengan syarat semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, termasuk menjaga jarak fizikal.
Terdahulu, Prabakaran ketika sidang medianya menggesa kerajaan untuk menanggung kos kuarantin sepenuhnya bagi pekerja Malaysia yang kembali dari Singapura kerana ramai yang tidak mampu.
"Ada individu yang menganggur selama dua bulan. Jadi, apabila syarat tersebut menyatakan bahawa mereka mesti menanggung kos kuarantin mereka sendiri, ia menjadi beban bagi mereka.
"Selain itu, saya dimaklumkan bahawa jika mereka gagal membayar kos, tindakan undang-undang akan diambil. Ini tidak adil," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai