Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelitup separuh muka atau denda RM1,000?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Bermula semalam masyarakat mula memakai pelitup separuh muka khususnya semasa berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak Covid-19.

Rata-rata rakyat boleh dikatakan akur dengan peraturan terbaru itu daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) jikak gagal mematuhinya.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pada hari pertama penguatkuasaan arahan itu mendapati masyarakat mula mendisplinkan diri dengan memakai pelitup separuh muka khususnya di kawasan tumpuan sebaik saja keluar dari kenderaan masing-masing.

Pelitup separuh muka kini boleh dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19 selain memastikan penjarakan fizikal yang wajib dipatuhi semua.

Selain sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup separuh muka di dalam kenderaan, membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal turut menjadi amalan baru masyarakat ketika berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata penggunaan pelitup separuh muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.

Kata Dr Noor Hisham, terdapat dua jenis pelitup separuh muka yang boleh digunakan iaitu pelitup separuh muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

- Bernama