Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahril Hamdan perlu tegur Umno dulu, kata exco Armada

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Exco Pemuda Bersatu (Armada) Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mengingatkan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan agar memberi teguran kepada partinya sendiri yang dikatakan memandang rendah terhadap parti komponen dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional.

Ia susulan kenyataan Shahril yang menasihatkan Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor supaya “jangan bermimpi” selepas menyatakan hasrat partinya untuk bertanding 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Saudara Shahril seharusnya menegur dulu ahli keluarga Umno yang terus memandang rendah parti komponen lain sama ada dalam Muafakat Nasional ataupun Perikatan Nasional".

“Di Terengganu sebagai contoh, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, terang-terangan mengeluarkan kenyataan 'tanpa kompromi' sepertimana yang dilaporkan media dengan mengatakan bahawa Umno ingin bertanding di kesemua lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN tanpa mengambil kira pandangan dan hasrat parti komponen yang lain dalam PN.

“Saudara Shahril harus melihat perkara ini secara menyeluruh dengan bukannya bersifat bias atau pilih bulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ashraf sebaliknya memuji Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang berkata Umno akan bermesyuarat untuk membuat keputusan berhubung kerjasama antara parti itu dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Sabah.

Shahril Hamdan

Hajiji dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, bahawa parti itu akan bertanding di 45 kerusi daripada jumlah 73 kerusi DUN yang dipertandingkankan dalam PRN akan datang.

Hajiji merupakan antara lapan pemimpin Umno yang menang pada PRU14 atas tiket Umno sebelum bertindak menyertai Bersatu dan menyokong kerajaan negeri Sabah di bawah ketua menteri, Shafie Apdal.

Apabila tercetus krisis politik tanah air pada Februari, Bersatu mula bekerjasama dengan Umno dalam gabungan PN.

Mohd Ashraf juga berkata tidak timbul soal tidak menghormati kesepakatan ataupun mahu tunjuk besar dan hakikatnya Bersatu begitu terbuka dan lebih ketara diplomasi dengan menolak sama sekali konsep “abang besar.”

“Maka jelas di sini untuk diingatkan, jangan masih ada pihak yang ingin mengeruhkan keadaan dengan mahu cuba-cuba tunjuk lagak jadi 'abang besar' kerana kerjasama yang kita bina jelas adalah berdasarkan tolak ansur dan semangat perpaduan sesama komponen seperti apa yang telah dijelaskan soal konsensus,” katanya.

Katanya, biarlah rundingan itu dijalankan oleh pemimpin-pemimpin utama dalam PN di Sabah dengan berpandukan usaha pimpinan PN di peringkat nasional.

“Malah sebarang kenyataan haruslah melalui PN di Sabah bagi mengelak sebarang salah faham seiring dengan kuasa autonomi yang dimiliki Umno Sabah dan juga parti-parti komponen PN yang lain.

“Shahril Hamdan sebegitu pemimpin Umno yang lain perlu ingat, ini bukan lagi soal Umno, PAS mahupun Bersatu, ini bukan BN, tetapi Perikatan Nasional,” katanya.

Ketika ini, Umno Sabah memiliki hanya satu daripada 17 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14 selepas 16 Adunnya, termasuk Hajiji meninggalkan parti itu dan menyertai parti gabungan kerajaan Warisan dan Bersatu.

Kerusi DUN tunggal Umno disandang Musa Aman yang mewakili DUN Sungai Sibuga.

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas Musa mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.