'RM4.7b tunggakan bayaran balik GST selesai menjelang akhir tahun'
PARLIMEN | Kementerian Kewangan akan menyelesaikan tunggakan pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.763 bilion selewat-lewatnya menjelang akhir tahun.
Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, antara kekangan pembayaran balik GST itu adalah maklumat bank yang tidak sah selain pihak (syarikat) terbabit gagal memberi maklum balas serta tidak mengemukakan dokumen yang dikehendaki bagi tujuan pengesahan.
Menurutnya, sejumlah RM1.479 bilion telah diluluskan untuk tuntutan bayaran balik GST bagi tempoh 22 Jun 2020 sehingga 8 Julai 2020.
"Kerajaan menerusi satu pengumuman pada 15 Jun 2020 telah bersetuju supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil pendekatan 'bayar dahulu dan audit kemudian' bagi syarikat terpilih berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 serta kriteria-kriteria tertentu.
"Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dia menjawab pertanyaan Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) mengenai pembayaran balik GST berkenaan.
Mohd Shahar turut menegaskan bahawa Kementerian Kewangan tidak akan menangguhkan pembayaran tuntutan itu, malah dalam proses untuk mempercepatkan usaha terbabit.
"Kita akan mempercepatkan proses ini dan tidak akan menganiayai mana-mana syarikat yang layak untuk menerima bayaran balik itu," katanya.
Dia menjelaskan, syarikat-syarikat yang layak menerima bayaran balik itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu tuntutan melebihi dan di bawah RM100,000.
Menurutnya, kutipan serta pembayaran balik GST adalah dinamik serta melibatkan proses yang terperinci bagi mengelak sebarang ketirisan.
"Kita merujuk kepada Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 15 Julai 2019 (bahawa) tiada wang GST yang dirompak dan yang kedua, wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan pembangunan negara.
"Hasil syor daripada laporan PAC berkenaan itu juga menyaksikan Kementerian Kewangan dan JKDM sedang menambah baik proses kutipan dan pembayaran balik GST," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai