Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesetiaan syarat utama pemilihan calon PRN, kata Shafie

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kesetiaan kepada parti akan menjadi kriteria utama dalam pemilihan calon Warisan dan sekutunya dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata presidennya Shafie Apdal.

"Kami akan mempertimbang muka baru dan (mereka yang) ada sedikit latar belakang dari segi pendidikan... tetapi kriteria utama kita ialah bukan hanya muka baru atau berkelulusan tetapi yang tidak mahu melompat.

“Kita boleh letak pemegang ijazah, boleh letak pakar dan doktor tetapi (jika) esok melompat tiada gunanya, bagi kita keutamaan mereka mesti mempunyai kesetiaan terhadap perjuangan yang ada,” katanya ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Borneo Today, hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat bersama pimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan PH Sabah di Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, Shafie yang kini ketua menteri sementara Sabah berkata dia telah mengarahkan penasihat undang-undang negeri untuk melihat undang-undang antilompat seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang.

Bagimanapun, Shafie berkata undang-undang tersebut hanya dapat dilaksanakan selepas PRN yang akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari elepas 30 Julai lalu - hari DUN dibubarkan.

"Sebenarnya, sebelum ini, kami telah melihat masalah tersebut tetapi ada hujah bahawa ia (undang-undang antilompat) tidak berperlembagaan," katanya.

Namun, Shafie berkata cadangan alternatif telah dibuat di Dewan Rakyat iaitu pemilihan berdasarkan parti, di mana kerusi dimenangi oleh parti dan bukannya individu, menjadikan perubahan sokongan wakil rakyat suatu kawasan tidak membawa apa-apa kesan kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Shafie memaklumkan pembahagian kerusi telah dilakukan dan akan diselesaikan dalam tempoh seminggu, namun menegaskan rundingan yang dilakukan atas semangat setiakawan dan keupayaan untuk menang.

"Anda dapat melihat kami, kami berdiri di sini bersama. Kami akan melawan mereka.

"Kami akan memastikan kita bersatu dalam pilihan raya ini untuk mengalahkan mereka yang cuba merebut kuasa dari kita," katanya lagi.

Pada 30 Julai lalu, Shafie mengumumkan pembubaran DUN yang seterusnya menggagalkan cubaan rampasan kuasa.

Pembubaran itu sehari selepas bekas ketua menteri Musa Aman, mendakwa dia mempunyai sokongan yang cukup di DUN untuk membentuk kerajaan negeri.