Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelitup muka pakai buang: Keluarga miskin tak mampu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Charles Santiago (DAP-Klang) meminta kerajaan memberikan subsidi bagi menggalakkan penghasilan pelitup separuh muka kain.

Katanya pemberian subsidi dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka yang hilang pekerjaan sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Katanya, dana itu boleh disalurkan melalui kursus usahawan kecil dan boleh dikembangkan kepada NGO dan organisasi komuniti (CBO) yang telah menghasilkan pelitup muka jenis itu.

Charles turut mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Mara dan agensi lain dengan menawarkan kelas penjahitan dalam penghasilan pelitup separuh muka kain.

“Salurkan juga dana untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan pelitup separuh muka ini akan dapat melepasi kecekapan penapisan bakteria (BFE), kecekapan penapisan zarah (PFE), ujian penembusan darah sintetik, ketahanan bendalir, kadar penapisan dan ujian kemudahbakaran,” katanya.

Dia turut memberi contoh negara lain seperti Vietnam, Hong Kong dan Korea Selatan dalam mengembang dan menambah baik penghasilan pelitup separuh muka yang boleh digunakan semula.

“Selain mampu untuk semua orang, pelitup separuh muka kain juga lebih mesra alam dan dapat membantu mengurangkan perubahan iklim.

“Ini juga dapat membantu mengurangkan sepuluh juta pelitup separuh muka yang kita buang setiap hari di negara ini.

“Dan kita dapat lakukannya glamor dengan menggunakan fabrik cetakan batik,” katanya.

Charles berkata, golongan berpendapatan rendah tidak mampu menanggung kos pelitup separuh muka pakai buang sedia ada setiap hari.

Menurutnya, terdapat golongan berpendapatan rendah, pekerja asing dan pelarian menggunakan pelitup muka separuh muka berulang kali untuk berjimat, walaupun ia mendedahkan diri mereka kepada penularan Covid-19.

“Keluarga yang terdiri daripada empat orang menggunakan enam helai topeng muka sekali pakai untuk sehari dan membayar RM1.20 sehelai, menelan kos sekitar RM216 sebulan untuk pembelian pelitup separuh muka.

“Dan ini merupakan kira-kira 20 peratus daripada upah minimum negara RM1,200,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.