Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya sedia pergi balai'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata dia sedia memberikan kerjasama jika disiasat polis susulan tulisan di media sosial yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap mahkamah.

“Saya tak pasti yang dirujuk Twitter tu, Twitter mana. Sama ada Twitter saya ke ataupun Twitter mana-mana pihak.

“Walaupun demikian, sebagai seorang pengamal undang-undang, saya juga tertakluk kepada undang-undang.

“Jika apa yang saya lakukan tertakluk kepada undang-undang tertentu dan dipanggil oleh polis, saya bersedia pergi ke balai polis untuk memberi penerangan,” katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Liew View Keong (Warisan-Batu Sapi) sebelum itu membangkitkan terdapat hantaran Twitter dipercayai daripada Takiyuddin berkaitan keputusan mahkamah Najib Razak dalam kes bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Liew View Keong

Liew membacakan hantaran yang menurutnya memetik kata-kata pemenang Hadiah Nobel dan mangsa kekejaman Holocaust, Elie Wiesel berbunyi:

“There may be times when we are powerless to prevent injustice, but there must never be a time when we fail to protest.” (Banyak kali kita tak berdaya menghalang ketidakadilan, tetapi tak harus sekali pun kita gagal membantahnya.)

Hantaran tersebut dimuat naik bersama gambarnya dan tiga lagi pemimpin kanan PAS bersama Najib - yang disabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan terlibat dalam pengubahan wang haram melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pemimpin PAS lain yang hadir dalam pertemuan dengan Najib itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man (menteri air dan alam sekitar), Mohd Khairuddin Aman Razali (menteri perusahaan perladangan dan komoditi ) dan Abdul Hadi Awang (duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah).

Bagaimanapun ciapan itu dipadamkan tidak lama selepas itu.

Dalam soalan tambahan Liew, bekas menteri undang-undang, turut membandingkan perkara itu dengan apa yang berlaku terhadap aktivis pro-Najib Ramesh Rao Krishnan Naidu yang mengaitkan hakim kes Najib dengan Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi saya ingin penjelasan daripada yang berhormat menteri mengenai kenyataan ini bercanggah dengan prinsip undang-undang yang mengatakan menggunakan tadi menggunakan common law concept juga penjelasan sama ada ia satu double standard (pilih kasih)? soal Liew.

Pada 28 Julai, Najib yang juga bekas presiden Umno dijatuhi hukuman 72 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah terhadap tujuh tuduhan berkaitan kes SRC International.