Skip to main
Logo Malaysiakini

Inflasi Indonesia di tahap terendah dalam 20 tahun

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kadar inflasi Indonesia pada Julai menurun paras terendah sejak 2000, berikutan pandemik COVID-19 merosakkan daya beli pengguna, lapor agensi berita Vietnam (VNA), berdasarkan data Statistik Indonesia (BPS).

Indeks Harga Pengguna (IHP) negara naik 1.54 peratus tahun ke tahun pada Julai, di bawah julat sasaran Bank Indonesia (BI) antara dua dan empat peratus. Ia juga lebih rendah berbanding kadar inflasi pada Jun sebanyak 1.96 peratus.

Sementara itu, kadar inflasi teras berada pada 2.07 peratus kerana harga ditadbir kerajaan melonjak 0.70 peratus dan ketaktentuan harga naik 0.35 peratus dari tahun ke tahun.

Ketua BPS Suhariyanto berkata inflasi teras masih lemah dan kerajaan perlu bekerja keras untuk meningkatkan daya beli orang ramai.

Negara Asia Tenggara itu secara bertahap membuka semula aktiviti ekonomi pada Julai untuk mempercepat pemulihan ekonominya, yang dilanda wabak COVID-19.

Kerajaan Indonesia juga memperuntukkan Rp695.2 trilion (sekitar US$47.2 juta) untuk langkah-langkah rangsangan ekonomi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Namun, ia meramalkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyusut 3.8 peratus pada suku kedua dan mungkin kian merudum pada suku ketiga, yang akan menandakan kemelesetan pertama Indonesia sejak krisis kewangan 1998.

- Bernama