Al Jazeera sahkan pejabat KL diserbu, kecam 'serangan pada kebebasan media'
Agensi penyiaran antarabangsa Al Jazeera mengesahkan serbuan polis di pejabatnya di Kuala Lumpur pagi ini, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dokumentarinya mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika wabak Covid-19.
Pengurusan Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar mengecam serbuan itu dan menyifatkannya bukan sekadar serangan kepada pihaknya, tetapi terhadap kebebasan media secara keseluruhan.
"Al Jazeera menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan jenayah terhadap wartawan kami," kata pengarah urusan Al Jazeera English, Giles Trendle dalam kenyataan.
"Langkah serbuan terhadap pejabat kami dan merampas komputer adalah satu peningkatan membimbangkan terhadap langkah menyekat kebebasan media oleh pihak berkuasa dan menunjukkan sejauh mana mereka sedia bertindak untuk menakut wartawan," katanya.
Dia berkata Al Jazeera mempertahankan laporan yang disiarkan dan wartawannya.
"Kakitangan kami melaksanakan tugasan dan tidak perlu menjawab atau memohon maaf. Kewartawanan bukan jenayah," katanya lagi.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya dua anggota beruniform dan lima berpakaian preman telah menyerbu pejabat agensi penyiaran antarabangsa itu di Tingkat 27, G Tower di Kuala Lumpur, dan merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam penerbitan dokumentari "Locked Up in Malaysia’s Lockdown" berdurasi 25 minit 50 saat.
Dalam kenyataannya, Al Jazeera turut mengesahkan dua komputernya dirampas ketika serbuan.
Ketika dihubungi, peguam Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan bahawa pihaknya ada ketika serbuan dibuat.
Dalam respons segeranya, pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International Malaysia menyifatkan serbuan itu berujuan untuk menutup suara mereka yang mengkritik.
"Tindakan kerajaan terhadap migran dan pelarian, serta mereka yang mempertahankan mereka, jelas untuk menutup mulut dan menakut-nakutkan dan ia perlu dikecam.
"Lindungi migran, lindungi kebebasan bersuara," katanya di Twitter.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid turut mengesahkan serbuan itu.
"Ya pada 11.30 pagi hari ini, (serbuan oleh) Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bersama-sama pasukan dari SKMM," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Difahamkan pasukan tersebut berada di pejabat Al Jazeera selama kira-kira satu setengah jam.
"Sama seperti yang dilaporkan sebelum ini," katanya ketika ditanya berkenaan butiran siasatan yang menyebabkan serbuan dibuat.
Awal bulan lalu, Mior dilaporkan berkata bahawa polis telah memulakan siasatan terhadap dakwaan cubaan memburukkan imej Malaysia menerusi dokumentari tersebut.
Pada masa itu, dia berkata siasatan dibuat susulan laporan yang dibuat oleh Jabatan Imigresen di Balai Polis Presint 7 Putrajaya.
Siasatan dibuat berdasarkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar, katanya lagi.
Al Jazeera mempertahankan laporannya dan menyuarakan kebimbangan terhadap risiko gangguan ke atas kakitangannya susulan bantahan terhadap dokumentari yang disiarkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai