Skip to main
Logo Malaysiakini

K’jaan beku sementara program Malaysia Rumah Keduaku

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan membekukan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) buat sementara waktu.

Langkah itu diambil untuk memberi ruang kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan agensi berkaitan untuk mengkaji dan menilai semula secara komprehensif sejak program tersebut dilancarkan pada 2002.

“Oleh yang demikian, sekiranya warga asing masih berminat untuk menyertai program MM2H, mereka boleh mengemukakan permohonan selepas program MM2H diaktifkan semula namun perlu mematuhi syarat-syarat semasa program,” kata Motac.

Dalam kenyataan hari ini, Motac menjelaskan bahawa pembekuan itu selari dengan keputusan semasa kerajaan yang belum membenarkan warga asing masuk ke Malaysia ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menurut Motac, penilaian semula akan mengambil kira syarat dan insentif sedia ada.

Kerajaan juga, kata kementerian, akan membandingkan dengan program setara di luar negara.