Skip to main
Logo Malaysiakini

India sekat guna aplikasi China - Weibo, enjin carian Baidu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Produk teknologi unggul China Weibo dan enjin pencarian Baidu Search telah disekat oleh kerajaan India dalam larangan aplikasi kedua yang dilancarkan oleh New Delhi, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan media pada Selasa.

Menurut sumber berita Times of India, enjin carian Google dan Twitter yang setara dengan China itu adalah antara 47 aplikasi tambahan yang dilarang akhir bulan lalu.

Kerajaan telah memaklumkan Google dan Apple supaya mengeluarkan aplikasi tersebut dari ruang aplikasi dan mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk menyekat penggunaannya di wilayah India, lapor berita tersebut memetik sumber pemerintah.

Pada akhir Jun India melarang 59 aplikasi yang dikembangkan oleh China untuk digunakan di India setelah ketegangan antara kedua-dua gergasi Asia itu ke atas pertikaian sempadan Himalaya.

Senarai aplikasi dilarang yang diperbaharui itu khususnya menyasarkan klon yang dilarang sebelumnya, tetapi dengan larangan Baidu Search dan Weibo, pasaran teknologi India telah dibersihkan daripada produk buatan China.

Perdana Menteri India Narendra Modi mempunyai sekitar 200,000 pengikut di aplikasi mikroblog Weibo sebelum beliau memadamnya berikutan ketegangan yang semakin meningkat, lapor Times of India.

Perselisihan sempadan antara kedua-dua negara, yang secara efektif tidak pernah diselesaikan, berubah menjadi lebih buruk ketika tentera China dan India bersemuka di wilayah Ladakh. 

India berkata 20 tenteranya yang terbunuh dalam pertempuran langsung (senjata api dilarang di sempadan sebagai langkah membina keyakinan) sementara China belum menyatakan kerugiannya dalam pertempuran itu.

- Bernama