Lim pesong fakta ratifikasi CPTPP, dakwa Azmin
Jemaah menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak pernah membuat keputusan untuk menolak Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata keputusan Jemaah Menteri pada 5 Sept 2018 yang bersetuju supaya Malaysia meratifikasi CPTPP tanpa menetapkan tempoh khusus untuk ratifikasi tersebut.
Katanya celahan Ahli Parlimen Bagan daripada DAP, Lim Guan Eng ketika sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan jawapannya berkaitan pendirian kerajaan mengenai CPTPP, adalah bersifat politik dan tidak bertanggungjawab.
“Ingin saya tegaskan bahawa jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 5 Sept 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
“Jemaah menteri pentadbiran Pakatan Harapan tidak pernah membuat keputusan untuk menolak CPTPP seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng,” katanya dalam kenyataan di KUala Lumpur hari ini.
Katanya beberapa perbincangan susulan berkaitan CPTPP di peringkat Jemaah Menteri sepanjang tahun 2019 dan awal tahun 2020 adalah untuk menilai kesediaan Malaysia dalam melengkapkan proses domestik, khususnya dalam memuktamadkan pindaan undang-undang yang telah dikenal pasti ke arah meratifikasikan CPTPP.
“Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Lim Guan Eng adalah mengelirukan, berniat jahat untuk memesongkan fakta sebenar.
“Ia tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang memegang salah satu portfolio penting dalam kabinet Pakatan Harapan pada ketika itu.
“Saya menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya yang merujuk kepada portfolio Lim sebagai menteri kewangan dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan.
Sehingga kini, CPTPP telah berkuat kuasa mulai 30 Dis 2018 di Australia, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand dan Singapura manakala di Vietnam pada 14 Jan 2019.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai