K'jaan mahu kaji semula pengeluaran kad UNHCR
Kerajaan akan melihat semula pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata kajian dan pertimbangan berhubung isu itu akan diserah kepada Wisma Putra untuk tindakan selanjutnya.
"Sepatutnya ia (kedudukan mereka yang memiliki kad UNHCR) berada pada keadaan statik namun lama-kelamaan bilangan pemegang kad UNHCR ini semakin meningkat yang menimbulkan masalah dalam negara kita.
“Kedudukan mereka yang memiliki kad UNHCR ini sesuatu yang kita sendiri pun tidak faham kerana sepatutnya angka pemegang kad UNHCR tidak berganjak mahupun kekal,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab persoalan Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bangun mencelah penggulungan oleh menteri itu, berhubung fungsi UNHCR di Malaysia sehingga menyaksikan bilangan individu yang ramai memohon kad pelarian UNHCR yang dikeluarkan di pejabat UNHCR di Jalan Bellamy, di Kual Limpur,
Terdahulu dalam penggulungannya, Hamzah berkata kerajaan bersetuju mewujudkan satu dasar berhubung pengalihan penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan.
Beliau berkata penyahjenayahan kesalahan penyalahgunaan dadah itu bertujuan meningkatkan akses untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah untuk mereka yang memerlukannya supaya dapat kembali kepada masyarakat.
“Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang itu juga bersetuju supaya dasar pengalihan ini diperhalusi dalam akta baharu iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang sedang dirangka,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri bersama Jabatan Penjara telah menyediakan kerangka reformasi sistem penjara bagi menggariskan penambahbaikan skop pengupayaan kakitangan, antaranya daripada aspek layanan, keselamatan dan reintegrasi.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai