Skip to main
Logo Malaysiakini

Adakah industri pembinaan hanya untuk pekerja asing?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Oleh kerana industri pembinaan memerlukan perancangan yang rapi untuk memenuhi pelbagai cabaran dan keperluan persaingan pada era globalisasi, penduduk tempatan haruslah melibatkan diri dalam sektor ini. Malah, inisiatif yang memberangsangkan amatlah diperlukan bagi meningkatkan penyertaan penduduk tempatan dalam industri ini.

Isu yang berterusan ini seringkali menjadi bahan bualan dan ia sangat penting untuk diperhatikan bahawa industri ini telah bergantung kepada tenaga kerja asing selama bertahun-tahun. Hal ini kerana, permintaan pekerjaan yang tinggi dalam industri ini memaksa mereka secara langsung untuk menggaji pekerja asing berbanding penduduk tempatan kerana masalah-masalah yang tertentu.

Keputusan terkini kerajaan untuk membenarkan hanya tiga industri dalam pengambilan pekerja asing iaitu pembinaan, perladangan dan pertanian adalah langkah pintar untuk mengurangkan pergantungan kita kepada pekerja asing.

Hal ini berkait rapat dengan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim di parlimen baru-baru ini bahawa sektor-sektor lain yang menggunakan khidmat pekerja asing diminta untuk mengambil pekerja tempatan.

Persepsi umum masyarakat bahawa sektor pembinaan adalah kurang menarik berbanding yang lain telah mulai melonjak. Tambahan pula, ia juga gagal menarik perhatian penduduk tempatan kerana kebanyakan penduduk tempatan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam industri lain yang biasanya lebih berkelas, ditambah pula dengan keselamatan pekerjaan yang lebih baik.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa kadar pengangguran pada Mei meningkat kepada 5.3 peratus daripada lima peratus pada April dan jumlah pengangguran telah meningkat kepada 826,100 individu, mungkin disebabkan oleh kesan pandemik Covid-19.

Penyertaan penduduk tempatan dalam industri pembinaan mungkin menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian kepada kadar pengangguran di negara kita kerana ia dapat menjadi salah satu alternatif yang berkesan dalam menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan, sambil menenangkan mereka supaya tidak terlalu risau akan kerjaya masa depan mereka.

Hal ini juga sejajar dengan tinjauan EMIR Research untuk suku pertama 2020 (1Q20) yang menunjukkan kekurangan peluang pekerjaan adalah salah satu kebimbangan rakyat dalam Indeks Kebimbangan Nasional (NWI). Skor pada skala antara 0 hingga 1 adalah 0.78, menunjukkan kebimbangan rakyat adalah pada tahap yang maksimum.

Tenaga kerja mahir tempatan juga dilihat sebagai satu masalah kerana pekerja asing tampak lebih mahir di dalam industri pembinaan berbanding dengan tenaga kerja tempatan dan ini juga merupakan sebab mengapa kebanyakan syarikat pembinaan cenderung untuk menggaji pekerja asing kerana kesediaan, kepantasan dan kualiti kerja mereka adalah lebih baik.

Menurut satu kajian Universiti Teknologi Mara, faktor-faktor yang boleh membawa kepada kekurangan tenaga kerja mahir tempatan adalah jaminan gaji yang rendah, masa depan kerjaya yang tidak memberangsangkan, imej industri dan persekitaran kerja yang kurang baik, serta tahap pendidikan.

Faktor-faktor yang dinyatakan sebelum ini akan menjadi batu sempadan yang menghalang sebahagian besar usaha-usaha negara kita untuk memastikan lebih ramai penyertaan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor pembinaan. Oleh itu, analisis yang mendalam haruslah dilakukan untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan beberapa langkah penting bagi menyelesaikan isu tersebut.

Kajian ini juga mencadangkan cara terbaik untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja mahir tempatan dalam industri pembinaan iaitu dengan mengkomersialkan kursus kemahiran supaya tampak lebih menarik dan memberangsangkan seperti Program Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan (Program CCD), dan meningkatkan lebih banyak program latihan serta menjalankan latihan-latihan khusus, terutamanya bagi belia tempatan dalam meningkatkan kemahiran mereka.

Dan kerajaan juga harus memberikan insentif kepada syarikat-syarikat kecil untuk melatih tenaga kerja tempatan, meningkatkan gaji atau upah tenaga kerja tempatan, dan menyekat serta meminimumkan pengambilan pekerja asing dalam industri pembinaan.

Walaupun ia kelihatan mustahil, namun cara terbaik untuk menarik minat penduduk tempatan adalah dengan memberikan lebih banyak faedah dan meyakinkan mereka bahawa industri pembinaan bukanlah sekadar alternatif setelah penat berjuang untuk mendapatkan pekerjaan. Sebenarnya, sektor ini adalah sebahagian daripada sektor kritikal dan jika dihadirkan dengan bantuan kerajaan yang tepat, maka sudah tentu ia akan memiliki keselamatan pekerjaan, imbuhan dan faedah yang lebih besar.

Oleh itu, kerajaan harus memandang serius terhadap setiap permasalahan yang muncul dalam industri ini untuk mengekalkan pencapaian industri tersebut agar tetap menjadi pemangkin pertumbuhan kerana sektor ini telah menyumbang 4.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun 2020 (1Q20).

Sektor pembinaan harus menjadi keutamaan untuk kebaikan negara kita, kerana ia berperanan penting dalam menjana kekayaan dan memberikan kualiti hidup yang lebih baik kepada negara, memandangkan di mana ia diperlukan untuk pembangunan negara.

Sebelum bermulanya wabak Covid-19, prestasi industri pembinaan adalah sangat baik kerana sektor ini telah pulih sebanyak 1.3 peratus pada suku keempat 2019 (4Q19) berbanding penguncupan -0.6 peratus suku sebelumnya.

Namun, kesan virus telah memburukkan keadaan kerana setelah pemulihan suku keempat, nilai kerja pembinaan pada suku pertama 2020 telah menguncup sebanyak 6.3 peratus.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid juga melaporkan sektor itu mencatatkan kerugian RM11 bilion semasa fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, hanya 23 peratus keseluruhan lokasi pembinaan yang diperiksa oleh CIDB didapati belum boleh beroperasi sebelum Julai 2020 dan tinjauan CIDB menunjukkan masalah yang kritikal adalah kekurangan tenaga kerja kerana kebanyakan syarikat pembinaan bergantung kepada buruh migran.

Sebilangan besar buruh migran tidak dibenarkan memasuki sempadan Malaysia ketika PKP berkuatkuasa dan mereka juga tidak tampil untuk menjalani pemeriksaan Covid-19, dengan itu menghalang mereka untuk kembali bekerja.

Oleh sebab sektor pembinaan dijangkakan mencipta peluang rendah bagi kerajaan memacu ekonomi, maka penglibatan penduduk tempatan dalam industri ini harus ditingkatkan untuk memberi nafas lega kepada industri pembinaan.


FARHAN KAMARULZAMAN merupakan pembantu penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.