Rayhan diusir keluar dalam tempoh terdekat
Md Rayhan Kabir, yang ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana terlibat dalam dokumentari kontroversi Al Jazeera, akan diusir dari negara ini dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata pihak polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap warga Bangladesh itu.
"Semalam menteri telah beritahu bahawa Rayhan akan diusir keluar dari negara ini, pas kerjanya juga telah ditamatkan.
"Bila dia akan diusir kita tidak dapat tentukan lagi, tapi penerbangan paling awal ke Bangladesh pada 31 Ogos.
"Dia juga akan disenarai hitamkan buat selama-lamanya," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Rayhan yang diburu Jabatan Imigresen Malaysia ekoran pembabitannya dalam dokumentari kontroversi Al Jazeera ditahan pihak berkuasa pada petang 24 Julai.
Dia dikehendaki pihak berkuasa untuk membantu siasatan berkaitan dokumentari Locked Up in Malaysia's Lockdown sebelum ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek telah diserahkan kepada pihak polis.
Sebelum ini, media melaporkan Rayhan membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan Covid-19 dalam dokumentari Al Jazeera.
Susulan itu, polis memulakan siasatan terhadap stesen penyiaran antarabangsa itu selepas penyiaran dokumentari berkenaan.
Dalam satu pesanan Whatsapp kepada wartawan media Bangladesh, The Daily Star selepas ditahan Rayhan mendakwa beliau tidak menipu berhubung kenyataannya yang dikeluarkan Al Jazeera.
Sementara itu, Khairul berkata pihak polis telah menyerahkan kertas siasatan terhadap warga Bangladesh itu ke pejabat peguam negara.
"Pihak polis telah selesai menjalankan siasatan, hasil siasatan telah diserahkan ke pejabat peguam negara," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai