Skip to main
Logo Malaysiakini

Puad: Khairy masih belum 'move on', bukan Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi sekali lagi mengkritik bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang disifatkannya masih belum "move on" apabila terus mengaitkan Najib Razak dengan Umno.

Mengulas kritikan Ahli Parlimen Rembau itu, Mohd Puad berkata, bekas perdana menteri itu tidak pernah sesekali mengheret Umno dengan pertuduhan yang dihadapihya di mahkamah.

Malah, Najib terus melangkah ke depan apabila menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Soalnya, kamu bangkit perkara yang tidak berbangkit kononnya Najib mahu mengheret Umno. Kalau soal ‘move on’, Najib sign (tandatangan) SD, setuju Muhyiddin jadi PM 8.

“Kalau ikut dendam dan permusuhan, dia tidak sign (tandatangan). Tetapi dia mahu kerajaan 'move on' demi rakyat. Ada Najib hasut KJ (Khairy) dan ahli parlimen lain jangan sign.

“Bila PN (Perikatan Nasional) jadi kerajaan, ada Najib minta KJ dan MP Umno desak Muhyiddin supaya gugur kes dia. Dan selepas dia dihukum bersalah ada Najib minta KJ dan MP Umno ugut Muhyiddin dengan undi tidak percaya,” tulis Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Khairy mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan yang Umno perlu bergerak ke hadapan.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu dipetik Astro Awani berkata masih ada yang mahu Najib kembali menerajui parti sebagai presiden Umno, walaupun beliau sudah didapati bersalah di mahkamah.

“Saya cakap benda yang menjadi rahsia terbuka sekarang ini. Masih ada yang berharap Datuk Seri Najib kembali sebagai presiden Umno.

"Ini yang saya maksudkan. Mereka tak nak cakap benda ini, tapi saya terpaksa cakap. Bagi saya, kita perlu bergerak ke hadapan. Cari generasi baru untuk memimpin Umno," katanya.

Khairy berkata kenyataannya sebelum ini mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Mohd Puad hari ini berkata Najib sentiasa "ikut keputusan jemaah" berbanding Khairy yang kadang kala enggan akur keputusan Umno.

“Bila kamu kalah tanding presiden Umno, itu bukan bermakna Umno tolak orang muda tetapi pengundi muda Umno yang memilih presiden pun tolak kamu.

“Terbukti selepas kalah kamu menghilang. Kamu yang tidak ‘move on’. Jangan tegak benang basah. ‘Move on’ lah KJ," katanya lagi.