Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Kena jelas definisi tempat sesak untuk pakai pelitup muka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Kerajaan perlu memberikan definisi jelas berhubung maksud "tempat awam" dan "tempat sesak" untuk mewajibkan orang awam mengenakan pelitup separuh muka bermula 1 Ogos lalu.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ini wujud kekeliruan berhubung pemakaian pelitup separuh muka itu sehingga ada orang awam dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Lee, penjelasan segera perlu dibuat secepat mungkin untuk memastikan pelaksanaan arahan tersebut berjalan lancar sekali gus mengelakkan lebih ramai rakyat 'teraniaya' kerana didenda sebab tidak jelas dengan peraturan ditetapkan.

"Saya rasa arahan (pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam) tersebut tak jelas. Pertama, adakah perlu pakai pelitup separuh muka sepanjang masa?

"Tempat yang sepatutnya mesti pakai pelitup muka mengikut undang-undang harus jelas dan sebenarnya kita tidak boleh katakan (keperluan memakai pelitup muka hanya) di tempat sesak.

"Jadi, bagaimana nak buat definisi tempat sesak? Tak boleh," katanya lagi.

Lee yang juga anggota parlimen Gopeng menambah ketika ini sudah ada penularan Covid-19 dalam komuniti yang tidak jelas puncanya, selain kes-kes import.

Misalnya, kata Lee, kes yang dikesan di Sabah.

"Kluster di Kedah pula adalah kes import, tetapi ia sudah berjangkit kepada rakyat tempatan serta kawasan sekitarnya.

Dr Lee Boon Chye

"Sebab itu ada keperluan untuk kita pakai pelitup muka di tempat-tempat tertentu (bukan di kawasan sesak saja).

"Jadi objektif mesti jelas tetapi saya rasa Majlis Keselaman Negara semasa mereka nak buat arahan, objektif pun tak jelas" kata Lee kepada Malaysiakini.

Lee berkata demikian ketika diminta mengenai rungutan dan kekeliruan orang ramai mengenai peraturan pemakaian pelitup separuh muka yang diwajibkan kerajaan mulai Ogos ini.

Pada 2 Ogos lalu, tular di media sosial tentang sebuah keluarga yang menaiki kenderaan persendirian disaman kerana tidak memakai pelitup separuh muka.

Terdapat juga orang awam yang didenda ketika berkelah di pantai.

Guna budi bicara

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob kemudian berkata polis akan membatalkan saman yang dikeluarkan kepada individu yang tidak memakai pelitup separuh muka ketika menaiki kenderaan persendirian.

Ismail Sabri juga yakin polis akan menggunakan budi bicara semasa menentukan sama ada seseorang itu wajar disaman atau tidak.

Antara kawasan yang dianggap sesak dan pelitup separuh muka mesti dipakai ialah dalam pengangkutan awam, pasar raya, pawagam dan lokasi tumpuan pelancong.

Lee berkata pemakaian pelitup separuh muka mempunyai dua objektif.

Pertama, katanya untuk melindungi pemakai dan ia lebih kepada anggota barisan hadapan yang berisiko tinggi.

"Objektif kedua ialah supaya orang ramai tidak banyak terdedah kepada virus. Jadi, kalau semua orang pakai pelitup muka dan hanya ada satu atau dua yang dijangkiti virus, dia tidak akan sebarkan virus tersebut. Ini tujuan pemakaian pelitup muka," katanya.

Mengulas lanjut Lee berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh mencontohi langkah larangan merokok diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) semasa gabungan itu menjadi kerajaan baru-baru ini.

"Kita boleh manfaatkan pengalaman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa mengenakan larangan merokok.

"Kalau kita lihat, ada 23 kawasan jelas disenaraikan sebagai tempat dilarang merokok.

"PN boleh guna konsep itu - senaraikan tempat pelitup muka mesti dipakai," katanya.

Untuk rekod sebelum ini KKM menyenaraikan kawasan yang dilarang merokok, iaitu taman awam, rumah ibadat, taman asuhan kanak-kanak, premis kerajaan, kawasan hospital atau klinik, tapak perkhemahan, tempat hiburan atau teater - kecuali disko, kelab malam atau kasino - lif dan tandas awam.

Berdasarkan persekitaran semasa

Lee juga berkata ketika ini langkah yang perlu dibuat ialah menjadikan pemakaian pelitup separuh muka sebagai suatu kebiasaan untuk orang ramai.

"Kalau dia pergi tempat yang dia tak perlu pakai pelitup separuh muka pun, dia mungkin akan tetap pakai sebab dah biasa.

"Jadi, ada setengah dasar yang perlu dibuat ialah berikan galakan, bukan semata-mata kita kuatkuasakan melalui undang-undang, apatah lagi jika ia tidak jelas," katanya.

Sebab itu kata Lee, definisi tempat awam berbeza dengan kawasan sesak.

"Misalnya tepi pantai, ada banyak penjelasan yang perlu dibuat. Macam mana kalau depan rumah saya ada pantai? Takkan saya kena pakai pelitup muka sepanjang masa?" katanya lagi.

Dr Dzulkefly Ahmad

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pula berpendapat paling mustahak ialah untuk orang ramai memberikan sokongan kepada amalan memakai pelitup separuh muka di tempat awam.

"Cumanya, saya perhatikan memang ada semacam ketidakjelasan tentang tempat-tempat itu," katanya ketika dihubung Malaysiakini.

Menurut pemimpin Amanah itu lagi, bukan mudah untuk membuat tafsiran berhubung tempat sesak atau tidak.

"Saya cenderung untuk memberikan fahaman bahawa kawasan sesak ini ialah, kalau kita nampak ramai orang di sekitar kita, sama ada dalam lif, kedai makan atau di pusat beli-belah.

"Nak takrifkan berapa orang atau berapa ruang untuk dianggap sesak, ia terlalu teknikal bagi saya. Cukup untuk kita fahami apabila kita tahu sendiri keadaan sesak.

"Misalnya apabila nak bergerak pun susah, nak bernafas pun susah, itu yang dimaksudkan dengan tempat sesak," katanya.

Bagaimanapun, anggota parlimen Kuala Selangor iru berkata terdapat keperluan supaya perkara itu dijelaskan oleh pihak bertanggungjawab.

Malah, Dzulkely juga turut mengesyorkan MKN mengambil inisiatif mengulang siar peringatan mesra itu kepada orang ramai seperti mana yang dilakukan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Saya kira perkara ini (peringatan dari semasa ke semasa) wajar diulang-ulang untuk peringatan semua, walaupun kita rasa dah pakai dah. Tapi, ada masanya kita lupa untuk pakai. Jadi, tak ada masalah kalau (nak diulang siar) biar dia jadi satu kelaziman dalam norma baru ini.

"Jadi, tak ada masalahnya dan sangat baik kalau kita dapat lakukan untuk kita ingatkan dan ulangi peringatan sebegitu.

Selain itu, Dzulkeflly menambah, orang ramai tidak perlu menunggu arahan kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu prihatin dengan keadaan sekeliling mereka.

"Kita kena tahu virus ini masih ada dalam komuniti kita," katanya lagi.